Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru ke-28

    Oleh Sim Y. H. & Siti Nur Wasimah S.

    Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru ke-28 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Sulaiman dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi bersama majlis serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi majlis sambutan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah khusus buat ayahanda Baginda Sultan, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Selain itu, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Luqman (Ayat 13-19) telah disampaikan oleh johan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Daerah Belait 2016 dan guru agama, Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kuala Belait, Haji Mohammad Khairudin bin Haji Marajah @ Meraji dengan inti sari ayat disampaikan oleh siswa kedoktoran di Pusat Pengajian Islam Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam (UBD), penolong pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan penceramah bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Awang Nazirul Mubin bin Ahad.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Guru Berjasa kepada Pengiran Datin Paduka Hajah Hairani.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Guru Berjasa kepada Dato Seri Setia Haji Kasim.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para penerima anugerah dan AJK Tertinggi Sambutan Hari Guru ke-28.

    Baginda Sultan berserta DYTM Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bergambar ramai.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung menyaksikan pameran.
    Baginda Sultan berkenan dijunjung menandatangani lembaran kenangan.

    Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menghuraikan tema sambutan ‘Guru Dedikasi Pendidikan Cemerlang’ dengan menjelaskan bahawa guru dedikasi membawa maksud guru reda dan ikhlas berkorban dari segi masa, tenaga, fikiran dan harta benda demi pembangunan anak bangsanya.

    “Mereka sentiasa tekun dan bersungguh-sungguh dalam menguasai pengetahuan subjek, melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran dengan gigih lagi titih serta berkemampuan dalam menerapkan pelbagai kemahiran dan nilai hidup.

    “Sesebuah bangsa itu bergantung kepada pendidikannya dan cemerlang pendidikan, maka cemerlanglah bangsanya. Semua ini menghendaki guru yang cemerlang lagi dedikasi semata-mata untuk melahirkan generasi yang mempunyai keutuhan dan jati diri yang tinggi sebaya dengan kemajuan yang mengiringi.

    “Kesedaran akan mustahaknya untuk membangunkan generasi yang mampu menghadapi apa jua cabaran yang dilontarkan zaman perlu ada dalam jiwa setiap guru apatah lagi dalam sama-sama mendukung hasrat Wawasan Brunei 2035 untuk generasi yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, kukuh agama lagi berakhlak mulia,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Majlis juga diserikan dengan persembahan lagu tema ‘Guru Dedikasi Pendidikan Cemerlang’ daripada gabungan pelajar dan guru sekolah rendah kerajaan dan swasta serta pelajar UBD.

    Ayat-ayat Suci Al-Quran dibacakan oleh Haji Mohammad Khairudin dan inti sari ayat disampaikan oleh Awang Nazirul Mubin.
    Antara persembahan yang menyerikan lagi Sambutan Hari Guru ke-28.

    Baginda Sultan kemudian berkenan menyempurnakan pengurniaan anugerah kepada 19 orang penerima iaitu dua orang penerima Anugerah Guru Berjasa, Dato Seri Setia Haji Kasim bin Haji Lamat dan Pengiran Datin Paduka Hajah Hairani binti Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; empat orang penerima Anugerah Guru Cemerlang, Dr Lim Chee Ming dari UBD, Pengiran Haji Mohd Wahab bin Pengiran Haji Abdullah dari IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Naziancina Galarido Ward dari Sekolah Rendah (SR) Sinar Matahari serta Dayang Norliza binti Haji Zaini dari SR Pantai Berakas dan 13 orang penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention).

    Para penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru ialah Profesor Madya Dr Haji Noor Azam bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman dari UBD, Haji Jamil bin Haji Osman dari SR Pengiran Anak Puteri Besar, Haji Adee Suharde bin Haji Muhidin dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Munif Ahmad dari IBTE Kampus Sultan Bolkiah, Dr Hajah Rosmawijah binti Haji Jawawi dari UBD, Haji Ibrahim bin Haji Sahat dari Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan, Awang Mohd Kamarul Izzudin bin Haji Kamaluddin dari IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Awang Ashraf bin Azwar dari IBTE Kampus Jefri Bolkiah, Hajah Norasnida binti Haji Ramlee dari Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), Dayang Siti Zawyah binti Haji Ismail dari SMALHB, Dayang Noor Faridah binti Haji Kasim dari SR Kapok, Dayang Nur Iman Yong binti Abdul Rahman dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan Dayang Farizan binti Haji Rosli dari SR Batu Marang.

    Pada akhir majlis, Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain dijunjung berangkat bagi sesi bergambar ramai dengan para penerima anugerah dan ahli jawatankuasa tertinggi sambutan serta seterusnya dijunjung berangkat menyaksikan Pameran Hari Guru.

    Konsep pameran berkenaan menjurus kepada lima bidang tumpuan selaras dengan tema sambutan iaitu menjulang titah pendidikan, memperkasa kompetensi guru, membina potensi pelajar berkeperluan khas, meningkatkan inovasi pendidikan serta memacu kemajuan negara. Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Baginda Sultan juga berkenan menerima junjung ziarah daripada guru-guru, pelajar, siswa, siswi dari pelbagai peringkat pendidikan dan institusi serta peserta persembahan.

    Hari Guru yang diraikan pada setiap 23 September ialah hari untuk memperingati dan menghargai sumbangan para pendidik di Negara Brunei Darussalam dan merupakan usaha untuk memartabatkan profesion perguruan yang banyak menyumbang kepada pembangunan tenaga manusia di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda