Wednesday, November 13, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru ke-34, Tahun 2024 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), hari ini.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah semasa berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru kali ke-34 Tahun 2024, di ICC, Berakas, kelmarin.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku pengerusi bersama majlis serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-34.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah khusus buat paduka ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah dan diikuti dengan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran iaitu Surah Ali Imran ayat 7 dan 18, Surah Fathir ayat 28, Surah Az-Zumar ayat 9 dan Surah Al-Mujadalah ayat 11 oleh Pegawai Pelajaran, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Kampung Mentiri, Awang Ashizal bin Zainal Abidin dan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awangku Mohd Ammarrul Amsyar bin Pengiran Haji Marjuki. Manakala inti sari ayat disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Syariah di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hafini bin Mahmud.

    Pada majlis itu, klip video Hari Guru yang menceritakan pengorbanan dan pengalaman seorang guru yang bertugas di salah sebuah sekolah rendah di kawasan pedalaman turut ditayangkan. Ini diikuti dengan montaj yang memaparkan pembangunan pendidikan di Negara Brunei Darussalam, mempamerkan pengintegrasian mata pelajaran agama ke dalam sistem pendidikan umum, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM), pendidikan inklusif, perkembangan sekolah swasta serta transformasi digital dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti demi melahirkan insan-insan inovatif dan cemerlang.

    Antara yang hadir pada majlis berkenaan.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan utama iaitu nyanyian kompilasi lagu-lagu medley bertajuk Jasamu Guru, Guru Oh Guru dan Terima Kasih Cikgu, diikuti dengan lagu Hari Guru ke-34 yang bertajuk Guruku Pemacu Masa Depan.

    Persembahan berkenaan merupakan gabungan seramai 34 pelajar dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Sekolah Rendah Tungku, Sekolah Kesuma Mekar dan Sekolah Ugama Perpindahan Lambak Kanan Jalan 77, Bandar Seri Begawan.

    Baginda seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan anugerah-anugerah Hari Guru ke-34 kepada para penerima yang terdiri daripada empat penerima Anugerah Guru Berjasa, sembilan penerima Anugerah Guru Cemerlang dan 30 penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention).

    Atas & Bawah: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan anugerah-anugerah Hari Guru ke-34 kepada antara penerima.

    Pada majlis itu, Baginda Sultan dan kerabat diraja kemudian berkenan dijunjung berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para penerima anugerah dan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-34.

    Seterusnya, Baginda dijunjung berangkat menyaksikan pameran sempena Sambutan Hari Guru ke-34 di Press Conference Hall pusat berkenaan dengan konsep pameran memfokuskan kepada STEAM yang melibatkan pelajar-pelajar dari sekolah rendah, menengah, institusi vokasional dan teknikal serta pengajian tinggi. Sebelum berangkat meninggalkan ICC, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menerima junjung ziarah daripada guru-guru, pelajar-pelajar, siswa dan siswi dari pelbagai peringkat pendidikan dan institusi serta peserta-peserta persembahan.

    Sambutan itu adalah sebagai usaha untuk memartabatkan profesion perguruan yang banyak menyumbang kepada pembangunan kapasiti tenaga manusia negara, di samping memperingati dan menghargai sumbangan jasa para pendidik di negara ini.

    Tema sambutan Hari Guru tahun ini, Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan, dengan subtema yang memfokuskan kepada Pendidikan untuk Dunia yang Terus Berubah.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sulran Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan melawat pameran-pameran pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-34 Tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda