Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Berkenan berangkat ke Majlis sambutan Puja Usia

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, hari ini berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang sempena Majlis Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke-48 tahun.

    Majlis Santap Petang yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) itu berlangsung di Mes Pegawai Bolkiah Garison.
    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta kerabat diraja ke Mes Pegawai Bolkiah Garison dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat.

    Semasa majlis tersebut, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menyertai sesi bergambar ramai dan seterusnya disembah kenalkan kepada anggota ABDB yang mengikuti Penugasan Misi Pengaman di dalam Malaysian Battalion (MALBATT 850-8) bagi Misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL); penerima RBAF Commendation Award dan Commandant’s Award bagi Kursus Maktab Turus ABDB ke-11 bagi tahun 2021 dan pegawai-pegawai baharu ditauliahkan yang menerima anugerah-anugerah terbaik pada Upacara Sovereign’s Parade bagi pegawai-pegawai kadet pengambilan ke-20, Sekolah Pegawai Kadet ABDB.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudiannya disembahkan dengan tayangan klip video dan buku Sejambak Ristaan XV yang mengandungi koleksi gambar-gambar kenangan penglibatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota di Kementerian Pertahanan dan ABDB dari tahun 2019 hingga 2022.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkenan memotong kek sempena Majlis Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke-48 pada Majlis Santap Petang di Mes Pegawai Bolkiah Garison. Berangkat sama ialah YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah serta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menandatangani lembaran kenangan semasa majlis tersebut.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen semasa berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan memotong kek puja usia Sambutan Ulang Tahun Hari Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke-48 yang dianjurkan oleh JPM, kelmarin. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bergambar dengan menteri-menteri kabinet dan kakitangan kerajaan.

    Majlis ini diikuti dengan penandatanganan lembaran kenangan, upacara memotong kek dan pesambah daripada pegawai dan kakitangan ABDB.

    Bagi memberkati majlis, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Penolong Ketua Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Mejar Ariffin bin Amit @ Hamid.

    Sementara itu, dalam majlis berasingan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut mengadakan mengadakan majlis sambutan serupa yang berlangsung di bangunan JPM.

    Berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Semasa majlis, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung untuk bergambar ramai, sebelum berangkat ke Galeri Pesambah di East Wing.

    Acara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.

    Sambutan dimeriahkan lagi dengan upacara memotong kek puja usia seterusnya DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima kad sembah ucapan daripada JPM dan pesambah dari agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi pendidikan tinggi dan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.

    Turut hadir ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; jemputan-jemputan khas; dan setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di JPM, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...