Berkenan berangkat ke majlis sambutan TBC

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, kelmarin, telah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Tionghua 2020 anjuran komuniti Cina tempatan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri
Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam dan kerabat diraja.

Sejurus keberangkatan di ICC, Baginda berdua dan kerabat diraja dijunjung oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pengerusi Kehormat, Yang Berhormat Ong Tiong Oh; Penasihat Kehormat Jawatankuasa Penganjur Sambutan Tahun Baharu Cina 2020, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin serta ahli-ahli terkemuka komuniti
Cina.

Majlis telah dimeriahkan dengan pelbagai persembahan tarian dan nyanyian seperti tarian tradisi daripada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Chung Hua, Kuala Belait dan tarian balet oleh penari-penari balet Studio Eleve termasuk cucunda Baginda berdua, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.

Turut memeriahkan acara ialah pertunjukan wusyu oleh kontinjen yang mencatat kecemerlangan dalam Sukan SEA di Filipina tahun lalu dengan satu emas, tiga perak dan dua gangsa.

Mereka terdiri daripada Awang Mohd Adi Salihin bin Roslan, Basma Lachkar, Awang Majdurano Joel bin Majallah Sain, Awang Mohd Safiee Shayeran bin Roslan dan Hosea Wong Zheng Yu.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, kelmarin, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran komuniti Cina tempatan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas. – Gambar oleh Infofoto
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam berkenan bergambar ramai semasa majlis sambutan berkenaan. – Gambar oleh Infofoto