KUALA LUMPUR, 24 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam malam ini berkenan berangkat menyertai Raja-raja Melayu menghadiri Majlis Santapan Diraja sempena pertabalan Seri Paduka Baginda Sultan Muhammad V sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara di sini.
Majlis tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri kabinet, duta-duta asing serta para pegawai kanan kerajaan juga menghadiri majlis itu.
Majlis berkenaan diserikan dengan persembahan nyanyian artis tempatan termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Andre Goh yang diiringi Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong serta para hadirin turut menyaksikan persembahan dikir barat yang diterajui Halim Yazid serta tarian kebudayaan anak-anak Permata Seni dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Sultan Muhammad V, 47, ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi menggantikan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Disember 2016. – Bernama
