Berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam Diraja

Gambar oleh Infofoto

TOKYO, 22 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malam ini berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam Diraja sempena Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Naruhito yang berlangsung di Imperial Palace, Tokyo.

Berangkat mengiringi Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Sejurus keberangkatan tiba, Baginda Sultan dijunjung berangkat ke Seiden-Take-No-Ma di mana Baginda telah dialu-alukan oleh Maharaja Naruhito dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharani Masako.

Baginda Sultan serta para tetamu khas yang lain juga telah memberikan ucapan tahniah kepada Maharaja dan Maharani Jepun di atas istiadat pertabalan yang berlangsung pagi tadi.
Baginda Sultan kemudian dijunjung beredar bersama-sama para tetamu khas yang lain ke Dewan Houmei-Denbagi Majlis Santap Malam Diraja.

Pada majlis santap malam tersebut, tetamu-tetamu khas telah dihiburkan dengan persembahan muzik Imperial Diraja Jepun.

Baginda Sultan juga dijangka akan berangkat ke Majlis Jamuan Teh yang dihoskan oleh Maharaja dan Maharani Jepun di Akasaka Imperial Residence, Tokyo, esok.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen semasa berkenan berangkat menghadiri Istiadat Pertabalan KDYMM Maharaja Naruhito yang berlangsung di Imperial Palace, Tokyo.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam Diraja sempena Istiadat Pertabalan KDYMM Maharaja Naruhito, yang berlangsung di Imperial Palace, Tokyo. Berangkat sama, KDYMM Maharani Masako.
Baginda Sultan bersama raja-raja dari negara asing dan tetamu khas lainnya pada Majlis Santap Malam Diraja sempena Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun yang berlangsung di Imperial Palace, Tokyo.
Istiadat Pertabalan Maharaja Naruhito yang berlangsung di Imperial Palace, Tokyo.
Puteri Mako (kanan) ketika menghadiri Istiadat pertabalan Maharaja Naruhito di Imperial Palace, Tokyo. – AFP

 

ATAS & BAWAH: Sebahagian daripada kerabat diraja dan pembesar-pembesar negara dari negara-negara asing turut memeriahkan Majlis Santap Diraja sempena Pertabalan Maharaja Jepun yang berlangsung di Imperial Palace, Tokyo. – AFP

Kerabat diraja Jepun tiba untuk majlis di “Kashikodokoro”, salah sebuah daripada tiga makam di Imperial Palace Jepun, di mana Maharaja Naruhito dan Maharani Masako turut mengunjungi Makam Shinto sebelum majlis pertabalan. -AP
Pemandangan Imperial Palace, Tokyo. – AFP