Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam malam ini berkenan berangkat ke Majlis Santap Negara bagi meraikan Lawatan Negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa Raja Bahrain serta rombongan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengalu-alukan ketibaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Hamad di Istana Nurul Iman.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Hamad diiringi oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Kerabat Pengiring Diraja.
Berangkat sama ke Majlis Santap Negara tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.



Turut berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.
Sebelum Majlis Santap Negara dimulakan, doa dibacakan oleh Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Rombongan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Hamad termasuk kerabat diraja Bahrain, menteri-menteri kabinet dan pegawai-pegawai kanan bertaraf menteri sama-sama hadir di Majlis Persantapan Diraja berkenaan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Hamad berada di negara ini bagi rangka Lawatan Negara selama dua hari.