Berkenan berangkat ke Majlis Tamat Latihan AACC

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan berangkat menghadiri Majlis Tamat Latihan Kursus All Arms Commando (AACC) dan Penyampaian Beret Hijau bagi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen di Commando Training Centre Royal Marines (CTCRM), Lympstone, Devon, United Kingdom.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Bangunan Mes Pegawai CTCRM disambut dengan Tabik Hormat Diraja yang disembahkan oleh anggota Guard of Honour King’s Squad dan Buglar Royal Marines Band.

Baginda kemudiannya dijunjung oleh DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen bersama Vice Lord Lieutenant of Devon, Lady Arran; Commandant CTCRM, Colonel Simon Chapman OBE; Commandant General of the Royal Marines, Brigadier Graeme Jock Fraser dan Regimental Sergeant Major (RSM), W01 Billy Meldrum.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya beredar ke Achnacarry Room, Mes Pegawai CTCRM bagi menerima sembah taklimat daripada Colonel Simon Chapman OBE, yang antara lainnya menerangkan mengenai latar belakang CTCRM dan AACC yang disertai oleh DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. Baginda kemudiannya dijunjung berangkat ke The Eastney Room bagi Majlis Santap Tengah Hari.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat ke bangunan Modern Urban Combat (MUC), di mana Baginda menyaksikan latihan ketenteraan kepakaran komando yang merangkumi Close Quarter Battle (CQB), Method of Entry (MOE) dan Urban Climbing.

Selesai pertunjukkan latihan ketenteraan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke The Falklands Hall bagi menghadiri Majlis Tamat Latihan Kursus AACC serta Penyampaian Beret Hijau, yang mana Baginda dijunjung selaku tetamu kehormat berkenan mengurniakan Beret Hijau kepada 46 anggota peserta AACC yang berjaya menamatkan kursus berkenaan termasuk DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. Pada akhir majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan bergambar ramai bersama para peserta AACC, jurulatih dan anggota CTCRM.

DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen telah menjalani AACC kendalian Royal Marines di CTCRM, Lympstone, Devon selama 13 minggu, bermula pada 20 September dan berakhir pada 2 Disember 2021.

CTCRM merupakan pusat latihan utama bagi Royal Marines dan merupakan sebuah pusat latihan unik yang memilih dan melatih semua pegawai Royal Marines, rekrut dan askar simpanan serta menyediakan semua latihan bagi pegawai belum ditauliah dan pakar-pakar Royal Marines.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen semasa berkenan berangkat ke Majlis Tamat Latihan AACC di UK.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan beret hijau kepada DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah ketika berkenan dijunjung bergambar ramai pada majlis di CTCRM, Lympstone, Devon, United Kingdom, kelmarin.