Berkenan berangkat ke majlis tamat pengajian

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Seramai 19 orang murid Tadika 3 Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur telah diraikan pada majlis tamat pengajian yang berlangsung di sekolah berkenaan di Kampung Manggis, hari ini.

Turut menerima sijil pada majlis itu ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad ‘Aamir.

Berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini serta Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad Za’eem yang turut menyertai persembahan.

Terdahulu sebelum penyampaian sijil, Guru Besar Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur, Hajah Salma binti Haji Abdul Latiff dalam ucapan alu-aluannya berkata, hari ini adalah hari istimewa untuk sekolah berkenaan kerana ia menandakan tamat pengajian kumpulan pertama pelajar yang menyertai sekolah berkenaan pada 2017.

“Ia juga menandakan penutupan satu pintu dan pembukaan (pintu) yang lain,” kongsi Hajah Salma.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berserta YAM Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini, YAM Pengiran Anak Muhammad Za’eem dan YAM Pengiran Anak Muhammad ‘Aamir berkenan berangkat ke majlis tersebut.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berserta YAM Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini dan YAM Pengiran Anak Muhammad Za’eem ketika berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Persembahan nasyid oleh murid-murid Tadika 2 menyerikan lagi majlis.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa kerana membenarkan mereka mendapatkan pengalaman indah mengenali anak-anak mereka dan menjaga anak-anak mereka.

“Tiga tahun telah berlalu begitu pantas dan kami berdoa agar anak-anak anda cemerlang sebagai umat Islam di dunia dan akhirat,” katanya lagi.

Majlis telah diserikan dengan persembahan nasyid yang menampilkan
murid-murid Tadika 2 yang menyampaikan lagu Asma ul Husna.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan anugerah kepada murid-murid Tadika 3 yang disempurnakan oleh Hajah Salma.

Majlis tamat pengajian tersebut dibahagikan kepada dua sesi, yang mana pada sesi pagi, seramai 11 orang murid telah diraikan manakala itu, lapan orang lagi diraikan pada sesi petang.