Berkenan berangkat ke pusat latihan komando, UK

Gambar oleh Infofoto

LONDON, 21 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Kemasukan bagi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen yang berlangsung di Pusat Latihan Komando Marin Diraja (CTCRM), Lympstone, Devon, United Kingdom.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Bangunan Mes Pegawai CTCRM dimulakan dengan Royal Salute yang disembahkan oleh anggota Guard of Honour yang diiringi oleh Royal Marine Band, dan Baginda juga dijunjung oleh DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen bersama Commanding Officer Base & Support Wing, Leftenan Kolonel Chris Samuel; Ketua Turus, Leftenan Kolonel Tom Evans-Jones; dan Pegawai Waran Kelas 1 (Sarjan Mejar Rejimen (RSM)), Nick Ollive.

Baginda juga diberikan sembah taklimat daripada Lt Col Chris Samuel, di bilik Achnacarry dan berkenan berangkat ke majlis santap tengah hari di bilik The Deal.

Berangkat sama menyertai Baginda ialah DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Semasa berada di tapak latihan CTCRM, Baginda berkesempatan menyaksikan latihan All Arms Commando Course Log Run dan Battle Physical Training yang dijalani oleh DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen bersama para peserta yang lain.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah berkenan berangkat bagi menghadiri Majlis Kemasukan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ke Pusat Latihan Komando Marin Diraja di Lympstone, Devon, UK.
DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen bersama peserta-peserta menjalani latihan All Arms Commando Course Log Run dan Battle Physical Training.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat melawat prasarana yang terdapat di CTCRM.
Baginda Sultan bersama DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan santap tengah hari di bilik The Deal.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesambah daripada Lt Col Chris Samuel sempena keberangkatan Baginda ke pusat latihan komando tersebut.
DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen bersama para peserta menjalani latihan All Arms Commando Course Log Run dan Battle Physical Training.

Sebelum menamatkan lawatan di CTCRM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Lt Col Chris Samuel iaitu sebilah Bayonet Royal Marines Commando, pisau tempur Fairbairn–Sykes (F-S).

Baginda juga berkenan mengurniakan sebuah tanda kenangan Kementerian Pertahanan kepada commanding officer Base & Support Wing, CTCRM sempena memperingati keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke CTCRM.

Pisau tempur F–S terkenal ketika Perang Dunia II yang diguna pakai oleh Komando British dan Special Air Services (SAS) serta beberapa pasukan khas yang lain, terutama sekali semasa Pendaratan Normandy pada bulan Jun 1944.

Dengan itu, pisau F-S sangat terkait dengan Komando British dan beberapa pasukan khas lain seperti US Office of Strategic Services (OSS) dan Marine Raiders pada ketika itu.

Kursus All Arms Commando (AACC) yang dijalani oleh DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen akan berlangsung selama 13 minggu dan dikendalikan oleh Marin Diraja di CTCRM, Lympstone.

Setelah tamat kursus, calon yang berjaya akan berhak untuk memakai beret hijau, dan mengenakan lencana Commando Dagger pada pakaian seragam mereka.

Pusat Latihan Komando, CTCRM, adalah pusat latihan utama bagi Marin Diraja. Berpangkalan di Lympstone, Devon, CTCRM memilih dan melatih semua pegawai dan rekrut Marin Diraja.

CTCRM juga adalah sebuah pusat latihan yang unik di mana ia juga menyediakan semua latihan bagi non commissioned officer (NCO) serta melatih 70 peratus kesemua kepakaran Marin Diraja.