Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Berkenan berangkat ke Singapura

    Gambar oleh Infofoto

    SINGAPURA, 2 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berangkat tiba di Republik Singapura bagi menghadiri Program Pemimpin-pemimpin Muda ke-8 yang akan diadakan pada 3 hingga 5 Ogos.

    Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia di Kompleks VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan dan Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Singapura selaku menteri pengiring, Tuan Yang Terutama Dr Mohamad Maliki Osman dan Saadiah Shahal selaku Lady-in-Attendance.

    Turut sama menjunjung keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, TYT Dato Paduka Haji Sidek bin Ali dan isteri; dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, TYT Heng Aik Yeow.

    Terdahulu, berangkat dan hadir di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha
    Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, setiausaha-setiausaha tetap dari JPM, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Pendidikan serta pasangan masing-masing.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa berangkat tiba di Republik Singapura bagi menghadiri Program Pemimpin-pemimpin Muda ke-8 yang akan diadakan pada 3 hingga 5 Ogos. Berangkat sama ialah YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman dan YTM Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah. – Gambar oleh Infofoto.
    Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh TYT Dr Mohamad Maliki Osman.
    Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan YTM Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah ke Republik Singapura dijunjung oleh TYT Dr Mohamad Maliki Osman dan Saadiah Shahal.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman dan YTM Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah sebelum berangkat ke Republik Singapura.

    Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Program Pemimpin-pemimpin Muda ke-8 itu akan memfokuskan kepada tiga bidang utama iaitu perkhidmatan awam, pendidikan dan pertahanan.

    Program itu termasuk beberapa siri lawatan ke sekolah-sekolah, Integrated Public Service Centre dan Pangkalan Tentera Laut Changi.

    Selain itu, Duli Yang Teramat Mulia juga akan mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Republik Singapura serta Perdana Menteri Republik Singapura secara berasingan.

    Program Pemimpin-pemimpin Muda merupakan program pertukaran tahunan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura bagi meningkatkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin serta bagi pemimpin-pemimpin pada masa akan datang bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dua hala, serantau dan pembangunan global.

    Dihoskan secara bergilir-gilir antara kedua-dua buah negara, kali terakhir program itu diadakan adalah pada 2019 di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...