Berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

TEMBURONG, 14 Mac – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-8 yang diadakan di Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, hari ini.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei (PDB), Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Negara, Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail.

Mengiringi keberangkatan ialah​ Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti Bin Haji Mohd Daud dan Pemangku Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

Upacara telah dimulakan dengan penghormatan diraja dan disusuli lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ sebelum Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan memeriksa perbarisan tamat latihan PKBN Pengambilan ke-7 terdiri daripada 246 orang pelatih lelaki dan 142 orang pelatih perempuan.

Pada acara itu juga, Baginda Sultan turut berkenan mengurniakan titah dan mengurniakan anugerah kepada enam pelatih terbaik PKBN sebelum berkenan dijunjung naik ke pentas diraja dan Doa Selamat dipanjatkan ke hadrat Allah SWT bagi menandakan kesyukuran bahawa upacara perbarisan tamat latihan selesai dijalankan dengan sempurnanya.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama pelatih PKBN Pengambilan Ke-8.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para penerima anugerah pelatih terbaik. – Gambar Infofoto
Baginda Sultan berkenan dijunjung beramah mesra bersama ahli keluarga salah seorang pelatih.

Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para pelatih dan keluarga mereka pada upacara tersebut.

Baginda Sultan berkenan menerima pesambah pada majlis tersebut. 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan menerima sembah penerangan semasa berangkat menyaksikan pameran tanaman hidroponik yang diusahakan oleh salah seorang almuni pelatih PKBN. – Gambar Infofoto
Perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat.
Antara yang hadir bagi menyaksikan Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN itu.

Baginda Sultan turut berkenan menerima penghormatan diraja dengan lagu kebangsaan dan diikuti dengan perbarisan tamat latihan sebelum berangkat menyaksikan pameran pertanian hidroponik oleh lepasan pelatih PKBN Pengambilan ke-5, Awang Mohamad Akmal Asmaan bin Haji Asmali dan Pameran Pusat Masyarakat Bestari sebelum Baginda dijunjung berangkat bagi santap ringan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan beramah mesra bersama para pelatih, ibu bapa dan penjaga pelatih sebelum dijunjung bergambar ramai bersama para pelatih.
Sejak ditubuhkan, PKBN telah mengeluarkan seramai 2,537 alumni termasuk pengambilan ke-8 yang bermula 2 Disember 2018. Mereka ini dilatih oleh 140 orang penyelia, jurulatih, pegawai perubatan dan pengendali yang telah dipinjamkan daripada ABDB, PDB, JBP, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Outward Bound Brunei Darussalam, KUPUSB dan sukarelawan profesional yang dibantu oleh alumni PKBN.

PKBN adalah program khas pembangunan belia kebangsaan yang memfokuskan kepada pembinaan jati diri ke arah ketahanan dan kekuatan mental, fizikal dan kerohanian mengikut lunas-lunas budaya, kenegaraan dan agama.

Para pelatih diasuh dan didedahkan dengan kerja-kerja kemasyarakatan dan semangat keusahawaan untuk menjadikan mereka sebagai individu yang prihatin di samping mempunyai keyakinan diri, semangat berdikari dan berusaha gigih bagi mencapai kecemerlangan dalam kehidupan.

Dengan menyertai PKBN, para peserta diharap dapat memanfaatkan ilmu dan pengetahuan dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarkat dan bernegara agar menjadi generasi belia yang bertanggungjawab, berdisiplin, dinamik, bersatu padu, cekal, menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara dan memperkukuhkan ketahanan nasional.