Wednesday, March 26, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke upacara perbarisan tamat latihan pkbn

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANGAR, 12 MAC– Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-9 yang berlangsung di Padang Kawad PKBN, Kem Latihan PKBN Batu Apoi, Daerah Temburong.

    Mengiringi keberangkatan Baginda ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Padang Kawad PKBN dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Negara, Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail.

    Upacara dimulakan dengan Hormat Diraja dan disusuli dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.

    Selepas itu, Baginda berkenan memeriksa Barisan Hadapan Kawalan-kawalan Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-9 terdiri daripada seramai 393 orang pelatih iaitu 237 orang pelatih lelaki dan 156 orang pelatih perempuan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bagi sesi bergambar ramai.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Anugerah Pelatih Lelaki Terbaik Jasmani kepada Awang Kasyful Asymawi.
    Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan Anugerah Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan kepada Dayang Nurul Maziah.
    Baginda Sultan ketika berkenan dijunjung bergambar ramai bersama enam pelatih terbaik PKBN pengambilan ke-9.
    Baginda Sultan ketika berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran.
    ATAS & BAWAH: Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama keluarga pelatih PKBN.

    Perbarisan tamat latihan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat.
    Antara jemputan yang menghadiri majlis itu.

    Seterusnya ketua perbarisan menjunjung perkenan Baginda Sultan bagi perbarisan tamat latihan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat serta perbarisan tamat latihan mara ke hadapan untuk diperhatikan semula.

    Baginda seterusnya berkenan mengurniakan titah dan mengurniakan anugerah kepada enam orang pelatih terbaik PKBN.

    Penerima-penerima anugerah berkenaan ialah Pelatih Lelaki Terbaik Kawad,12417 Amirul Afizan bin Moksin / Platun 2, Pelatih Perempuan Terbaik Kawad, 12269 Nur Munawarah binti Haji Ismail / Platun 7, Pelatih Lelaki Terbaik Jasmani, 12305 Kasyful Asymawi bin Haji Khairul Ariffin / Platun 6, Pelatih Perempuan Terbaik Jasmani, 12324 Nur Hernna Syafiqah binti Abdullah Hirman / Platun 5, Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan, 12554 Mohammad Wafiy Mustaqim bin Bahrin / Platun 2 dan Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, 12345 Nurul Maziah binti Abdullah Kamarul Sarip / Platun 2.

    Selesai berkenan mengurniakan anugerah, Baginda Sultan dijunjung naik ke pentas diraja dan tiga kali daulat untuk Baginda dilaungkan.

    Upacara diteruskan de-ngan bacaan Doa Selamat bagi memanjat kesyukuran upacara perbarisan tamat latihan selesai dijalankan dengan sempurna.

    Baginda Sultan seterusnya berkenan menerima Hormat Diraja diikuti dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan perbarisan tamat latihan berjalan lalu dan keluar dari padang kawad perbarisan.

    Baginda kemudiannya berangkat menuju ke Ruang Legar, Blok 1, Kem Latihan PKBN bagi menyaksikan pameran daripada Jawatankuasa Persatuan Alumni PKBN dan Program Peladang Muda Pusat Pembangunan Belia sebelum Baginda dijunjung berangkat ke Bilik Tetamu 1, Blok 1, Kem Latihan PKBN bagi santap ringan.

    Baginda seterusnya berkenan menandatangani buku lembaran kenangan sempena keberangkatan Baginda di Ruang Legar, Blok 1, Kem Latihan PKBN.

    Sebelum meninggalkan majlis, Baginda Sultan berkenan berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para pelatih dan seterusnya disembahkan dengan sebuah pesembah di Dewan Kuliah oleh Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli sebagai menjunjung kasih di atas keberangkatan Baginda ke Kem PKBN.

    Keberangkatan Baginda Sultan menunjukkan bukti keprihatinan Baginda terhadap perkembangan belia di Negara Brunei Darussalam terutama kepada para pelatih PKBN.

    Di samping itu juga ia menyuntik semangat para pelatih untuk terus aktif memainkan peranan sebagai belia yang berdikari, berdisiplin, berwawasan, berhemah, bertakwa, dan syumul dan terus menerus aktif mengaplikasikan apa yang dipelajari sepanjang program setelah tamat menjalani PKBN supaya dapat menabur bakti dan meningkatkan rasa cinta serta pengorbanan terhadap negara, bangsa dan agama sesuai dengan hasrat penubuhan PKBN.

    Sejak PKBN ditubuhkan, ia telah mengeluarkan seramai 2,930 alumni PKBN termasuk jumlah alumni PKBN pengambilan ke-9 yang bermula 1 Disember 2019 hingga 12 Mac 2020.

    Mereka dilatih oleh seramai 150 orang penyelia, jurulatih, pegawai perubatan, dan pengendali daripada Angkatan Tentera Diraja Brunei, Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Outward Bound Brunei Darussalam, KUPUSB, dan suka-relawan profesional yang dibantu oleh alumni PKBN bagi sama-sama menjayakan PKBN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda