Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-6 di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Daerah Temburong.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Padang Kawad PKBN dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.

    Mengiringi keberangkatan Baginda ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abd Rahman bin Haji Ibrahim,

    Upacara dimulakan dengan Hormat Diraja dan disusuli dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.

    Sejurus keberangkatan di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan menerima tabik hormat diraja dan memeriksa perbarisan kehormatan terdiri daripada 357 orang pelatih iaitu 280 orang pelatih lelaki dan 77 orang pelatih perempuan bagi pengambilan ke-6.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani plak.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani plak.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan kepada Awangku Yura Wira Putera @ Awangku Muhammad Amin.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan kepada Awangku Yura Wira Putera @ Awangku Muhammad Amin.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan kepada Dayang Qurratul’ain Syukriyah.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan kepada Dayang Qurratul’ain Syukriyah.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan menyempurnakan pengurniaan anugerah kepada enam orang pelatih terbaik.

    Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan telah dianugerahkan kepada Awangku Yura Wira Putera @ Awangku Muhammad Amin bin Pengiran Yunos, manakala Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan pula dianugerahkan kepada Dayang Qurratul’ain Syukriyah binti Haji Shamsul Ariffin.

    Sementara itu, Awang Muhammad Syahmi Sufi bin Mohd Salleh dan Dayang Farah binti Mohd Rashidi, masing-masing dianugerahkan sebagai Pelatih Lelaki dan Perempuan Terbaik Kawad.

    Manakala bagi Anugerah Pelatih Lelaki dan Perempuan Terbaik Jasmani telah dianugerahkan kepada Awang Hafiz Ifwat bin Azmi dan Dayang Syaqirah binti Japar.

    Sejurus pengurniaan anugerah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian dijunjung naik ke pentas diraja dan Doa Selamat dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala bagi menandakan kesyukuran bahawa majlis perbarisan tamat latihan selesai dijalankan dengan sempurna.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan menerima Hormat Diraja diikuti dengan lagu kebangsaan dan perbarisan tamat latihan berjalan lalu dan keluar dari padang kawad perbarisan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama keluarga salah seorang pelatih PKBN.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama keluarga salah seorang pelatih PKBN.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung bergambar ramai bersama pelatih-pelatih PKBN serta keluarga yang baru tamat kelmarin.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung bergambar ramai bersama pelatih-pelatih PKBN serta keluarga yang baru tamat kelmarin.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung berangkat membuat lawatan di Bangunan PKBN.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung berangkat membuat lawatan di Bangunan PKBN.

    Baginda kemudiannya berangkat menuju ke Ruang Legar, Blok 1, Kem Latihan PKBN bagi menandatangani Plak Kenangan Bangunan PKBN Sempena Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN Ke-6.

    Baginda turut berkenan menerima pesambah berupa sebuah lukisan Bangunan Kem Latihan PKBN yang dilukis oleh pelatih PKBN Pengambilan ke-6 dan seterusnya Baginda dijunjung berangkat ke Bilik Tetamu 1, Blok 1, Kem Latihan PKBN bagi santap ringan.

    Baginda kemudiannya dijunjung berangkat bagi melawat kemudahan-kemudahan yang terdapat di Bangunan Kem Latihan PKBN seperti bilik gerakan, bilik pejabat komandan kem, bilik mesyuarat utama dan bilik perpustakaan yang berada di blok 1; bilik kuliah 1 dan 2, bilik perubatan dan kesihatan, bilik pelatih perempuan yang berada di blok 2 dan dewan makan serta surau yang berada di blok 4.

    Semasa berada di dalam Surau Kem Latihan PKBN, Baginda berkenan menyaksikan Mushaf Al-Quran sumbangan amal jariah peribadi Baginda kepada para pelatih PKBN ke-6.

    Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke dewan serbaguna bagi menandatangani buku lembaran kenangan sempena keberangkatan Baginda dan disembahkan dengan sebuah pesambah oleh Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN), Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail sebagai menjunjung kasih di atas keberangkatan Baginda ke Kem PKBN.

    Perbarisan lalu daripada para pelatih PKBN.
    Perbarisan lalu daripada para pelatih PKBN.
    Pelatih-pelatih yang menerima anugerah.
    Pelatih-pelatih yang menerima anugerah.
    Ibu bapa dan penjaga yang hadir ke majlis itu.
    Ibu bapa dan penjaga yang hadir ke majlis itu.

    Sebelum meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama para pelatih dan ibu bapa serta penjaga pelatih yang juga diselajurkan dengan sesi bergambar ramai bersama para pelatih di dewan kuliah.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini menunjukkan bukti keprihatinan Baginda terhadap perkembangan belia di Negara Brunei Darussalam terutama sekali kepada para pelatih PKBN ini.

    Lawatan Baginda itu juga sekali gus dapat menyuntik semangat para pelatih untuk terus aktif memainkan peranan sebagai belia yang berdikari, berdisiplin, berwawasan, berhemah, bertakwa dan syumul serta terus aktif mengaplikasikan apa yang dipelajari sepanjang program setelah tamat menjalani program tersebut agar dapat menabur bakti dan meningkatkan rasa cinta serta pengorbanan terhadap negara, bangsa dan agama sesuai dengan hasrat penubuhan PKBN.

    Pengambilan ke-6 PKBN bermula pada 4 Disember 2016 sehingga 13 Mac 2017. Mereka dilatih oleh seramai 120 orang penyelia, jurulatih, pegawai perubatan, dan pengendali yang telah dipinjamkan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Outward Bound Brunei Darussalam, KUPUSB, dan sukarelawan profesional yang dibantu oleh alumni PKBN bagi sama-sama menjayakan Program ini.

    Sejak PKBN ditubuhkan, ia telah mengeluarkan seramai 1,418 pelatih.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda