Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Berkenan berangkat ke upacara Sovereign’s Parade

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Setelah mengharungi latihan selama 51 minggu, seramai 81 orang pegawai kadet iaitu 50 orang pegawai lelaki dan 31 orang pegawai wanita, ditauliahkan dalam Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-20, Sekolah Pegawai Kadet (OCS) yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan (AP), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kampung Tanah Jambu, hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke upacara berkenaan.

    Mengiringi keberangkatan Baginda Sultan ialah paduka-paduka anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan Baginda Sultan di Padang Kawad, AP ABDB dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat.

    Sejurus keberangkatan, Baginda Sultan berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa pasukan perbarisan di bawah perintah Pegawai Perbarisan, 1071 Kapten Muhammad Azmi bin Abdul Latif. Ini disusuli dengan acara perbarisan berjalan lalu oleh pegawai-pegawai kadet.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berangkat ke Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-20, OCS di Padang Kawad AP, ABDB, Kampung Tanah Jambu, kelmarin. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Baginda Sultan berkenan dijunjung berangkat bagi memeriksa pasukan perbarisan.
    Baginda Sultan berkenan menerima Tabik Hormat Diraja. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan Anugerah Terbaik Akademik kepada Pegawai Kadet Nurharzelah @ Nurfazelah binti Yakub.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung beramah mesra bersama pegawai-pegawai. Turut berangkat sama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan bergambar ramai bersama pegawai-pegawai kadet pengambilan ke-20.
    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan beramah mesra bersama pegawai kadet dan ahli keluarga.
    DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bergambar ramai bersama salah seorang pegawai kadet dan keluarganya.
    Acara perbarisan berjalan lalu oleh pegawai-pegawai kadet.

    Semasa upacara berkenaan, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah dan diikuti dengan pengurniaan anugerah-anugerah bagi pegawai-pegawai kadet terbaik bagi pengambilan ke-20.

    Pengurniaan anugerah-anugerah didahului dengan Anugerah Pedang Kehormatan kepada Pegawai Kadet Awangku Mohammad Qamarussalihin bin Pengiran Mohammad Saifuddin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

    Anugerah Pedang Kehormatan merupakan anugerah penghormatan yang tertinggi kepada pegawai kadet yang dikurniakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Ia merupakan simbol kecemerlangan terbaik secara keseluruhan bagi pegawai kadet yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam latihan asas ketenteraan, akademik, fizikal dan dalam semua aspek kepimpinan.

    Baginda Sultan seterusnya berkenan mengurniakan Anugerah Terbaik Akademik kepada Pegawai Kadet (L) Nurharzelah @ NurFazelah binti Yakub yang berkelulusan Sarjana Sains dalam Pengurusan dan Teknologi dari Universiti Teknologi Brunei (UTB). Pegawai ini menerima anugerah berkenaan berdasarkan kepada keputusan keseluruhan akademik terbaik di sepanjang latihan kursus diadakan.

    Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera dikurniakan kepada Pegawai Kadet (U) Dayangku Rabiatuladawiah @ Dayangku Sarimah binti Pengiran Radzuan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Matematik, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Pengurniaan anugerah itu adalah berdasarkan kejayaan beliau mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran kemahiran tentera.

    Manakala itu, Pegawai Kadet Aabed Zul-Fadhlee bin Haji Abdul Hamid yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal (Hons) dari UTB menerima Anugerah Terbaik Ketahanan Latihan Jasmani sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang dalam latihan jasmani.

    Selepas itu, sembah Daulat Kebawah Duli Tuan Patik dilaungkan sebanyak tiga kali oleh pasukan perbarisan dan diikuti dengan bacaan doa oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, TLDB.

    Baginda kemudian berkenan menerima pesambah bertemakan ‘Qaidah Marunah’, yang membawa maksud pemimpin yang cekal.

    Upacara diteruskan dengan majlis ramah mesra daripada pegawai-pegawai kadet yang baru ditauliahkan serta keluarga masing-masing sebelum dijunjung bagi sesi bergambar ramai.

    Seramai 81 orang pegawai kadet yang terdiri daripada 50 lelaki dan 31 wanita, telah ditauliahkan pada hari ini yang mana seramai 46 orang Pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Darat Diraja Brunei, 19 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Laut Diraja Brunei dan 16 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Brunei.

    Upacara Sovereign’s Parade adalah acara kemuncak latihan ketenteraan intensif yang berprestij bagi OCS ABDB dalam melengkapkan pegawai yang baru ditauliahkan dengan ilmu pengetahuan, kepercayaan, disiplin, profesionalisme dan kemahiran kepimpinan.

    Kursus Pegawai Kadet Pengambilan ke-20 selama 51 minggu itu telah bermula pada 28 Januari 2021 yang melibatkan pelbagai latihan dan aktiviti ketenteraan khusus untuk meningkatkan kualiti kepimpinan, perwatakan dan intelek sepertimana yang dikehendaki bagi setiap pegawai ABDB.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...