Berkenan berangkat ke Upacara Sovereign’s Parade

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-19, Sekolah Pegawai Kadet yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan (AP), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kampung Tanah Jambu, hari ini.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah paduka-paduka anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Seramai 73 orang pegawai kadet yang terdiri daripada 52 lelaki dan 21 wanita telah ditauliahkan hari ini, yang mana 40 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), 14 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan 19 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan menerima tabik hormat diraja dan seterusnya memeriksa pasukan perbarisan di bawah perintah pegawai perbarisan, 1061 Lt Muhammad Ridhwan bin Haji Ralif, TLDB. Ini disusuli dengan acara perbarisan berjalan lalu oleh pegawai-pegawai kadet.

Keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan memeriksa perbarisan pegawai-pegawai kadet.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama salah seorang pegawai kadet dan keluarga. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung bergambar ramai bersama salah seorang pegawai kadet dan keluarga.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bergambar ramai bersama salah seorang pegawai kadet dan keluarga.
Pegawai-pegawai kadet ketika acara perbarisan berjalan lalu pada Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-19, Sekolah Pegawai Kadet, kelmarin.
Pegawai Kadet Zulfahmi Solihin @ Abdul Hannan, Pegawai Kadet (U) Mohammad Khalid Wassadisalleh, Pegawai Kadet Muhammad Atthar Ridzwan dan Pegawai Kadet Awangku Ahmad Muqri yang dipilih untuk menerima anugerah atas kecemerlangan mereka semasa mengikuti Kursus Pegawai Kadet Pengambilan ke-19.
Ibu bapa dan keluarga pegawai-pegawai kadet yang hadir menyaksikan hari penting anak-anak mereka.

Semasa upacara tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah dan diikuti dengan pengurniaan anugerah-anugerah bagi pegawai-pegawai kadet terbaik bagi pengambilan ke-19.

Pengurniaan anugerah-anugerah didahului dengan Anugerah Pedang Kehormatan kepada Pegawai Kadet Zulfahmi Solihin @ Abdul Hannan bin Haji Zulhazmi, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Mechatronics dari University of Melbourne, Australia.

Anugerah Pedang Kehormatan merupakan anugerah penghormatan tertinggi kepada pegawai kadet yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, dan merupakan simbol kecemerlangan terbaik secara keseluruhan bagi pegawai kadet yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam latihan asas ketenteraan, akademik, fizikal dan dalam semua aspek kepimpinan.

Baginda seterusnya mengurniakan Anugerah Terbaik Akademik kepada Pegawai Kadet (U) Mohammad Khalid Wassadisalleh bin Haji Mahmud, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Business Administration dari Universiti Brunei Darussalam. Pegawai ini menerima anugerah tersebut berdasarkan kepada keputusan keseluruhan akademik terbaik di sepanjang latihan kursus diadakan.

Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera pula dikurniakan kepada Pegawai Kadet Muhammad Atthar Ridzwan bin Haji Muhammad Alamizan, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Chemical Engineering, Universiti Teknologi Brunei. Pengurniaan anugerah ini adalah berdasarkan kejayaan beliau mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran kemahiran tentera.

Manakala Pegawai Kadet Awangku Ahmad Muqri bin Pengiran Sahbirin, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Hospitality Management dari SEGi Universiti, Kota Damansara, Malaysia menerima Anugerah Terbaik Ketahanan Latihan Jasmani, sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang pegawai kadet dalam latihan jasmani.

Selepas itu, ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ dilaungkan sebanyak tiga kali oleh pasukan perbarisan, diikuti dengan bacaan doa oleh Ketua Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, TLDB.

Baginda kemudiannya berkenan menerima pesambah bertemakan ‘Miftah Annajah’ yang membawa maksud ‘kunci kejayaan’. Upacara diteruskan dengan majlis junjung ziarah daripada pegawai-pegawai kadet yang baru ditauliahkan serta keluarga masing-masing, sebelum dijunjung bagi sesi bergambar ramai.

Upacara Sovereign’s Parade adalah acara kemuncak latihan ketenteraan intensif yang berprestij bagi Sekolah Pegawai Kadet ABDB dalam melengkapkan pegawai yang baru ditauliahkan dengan ilmu pengetahuan, kepercayaan, disiplin, profesionalisme dan kemahiran kepimpinan.

Kursus Pegawai Kadet Pengambilan ke-19 selama 52 minggu ini telah bermula pada 30 Januari 2020, yang melibatkan pelbagai latihan dan aktiviti ketenteraan khusus untuk meningkatkan kualiti kepimpinan, perwatakan dan intelek sepertimana yang dikehendaki bagi setiap pegawai ABDB.