Berkenan berangkat meninggalkan Korea

Gambar oleh Infofoto

BUSAN, 26 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini berkenan berangkat meninggalkan Busan, Republik Korea (ROK) selepas menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-ROK ke-3.

Sebelum berangkat meninggalkan hotel persemayaman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Hadir di Pangkalan Udara Gimhae, Busan bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Timbalan Menteri untuk Hal Ehwal Pelbagai Hala dan Global, Kementerian Hal Ehwal Luar ROK, Kang Jung Sik dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak ROK ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yoon Hyun-bong serta Duta Besar Istimewa dan Mutlak Brunei ke ROK, PYT Pengiran Hajah Nooriyah binti Pengiran Lela Wijaya Pengiran Haji Yussof.

Sebelum menaiki pesawat khas, Baginda Sultan berkenan melintasi barisan kawalan kehormatan statik yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata ROK.

Baginda Sultan berkenan melintasi barisan kawalan kehormatan statik dan menerima junjung ziarah sebelum menaiki pesawat.
Doa Selamat dibacakan sebelum KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berangkat meninggalkan hotel persemayaman.