Berkenan berangkat menyaksikan kejohanan badminton

Oleh Fadhil Yunus
Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Badminton Terbuka Aewon di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Menyertai kejohanan tersebut bagi Kategori Perseorangan Lelaki (B12) ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim.

Turut berangkat pada perlawanan tersebut ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.

Pada perlawanan tersebut, Yang Teramat Mulia berjaya mempamerkan aksi bertenaga dengan menewaskan Muhammad Mirza Afif Syahmi bin Sofian dalam straight set dengan keputusan 21-16, 21-18, sekali gus berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan tersebut.

Yang Teramat Mulia seterusnya akan bertemu dengan Muhammad Talipudin bin Ermadena dalam kelompok empat terakhir esok selepas Muhammad Talipudin mencatatkan kejayaan menewaskan Mohd Aiman Izzuddin Mohd Alimasdi dalam straight set 21-11, 21-7.

Sementara itu peserta lain yang turut mara ke separuh akhir ialah Mohd Haziq bin Roze yang akan bertemu dengan Dessen Chung Min Tin. Mohd Haziq mencatatkan kemenangan selepas beraksi menewaskan Mohd Daffa Dany bin Ali Hussin dengan keputusan 21-3, 21-4, manakala Dessen mencatatkan kemenangan ketika menentang Muhammad Hamizan bin Maysufrizal dengan keputusan 21-5, 21-10.

Beberapa kategori lain yang dipertandingkan hari ini ialah Perseorangan Lelaki Terbuka, Beregu Terbuka ‘A’ dan Beregu Terbuka ‘B’.

Kejohanan tersebut turut menyaksikan perlawanan dalam Kategori Beregu Wanita antara pasangan regu Siti Marinah binti Mohd Salleh dan Nuraqilah binti Haji Shahroney menentang pasangan regu Nurdalila binti Ismail dan Nur Hidayatulisma binti Ismail.

Selain Kategori Perseorangan Lelaki (B12) dan Beregu Wanita, kejohanan tersebut akan diteruskan dengan perlawanan dalam Kategori Perseorangan Lelaki ‘A’ dan Beregu Lelaki ‘B’, Campuran Beregu, Perseorangan Lelaki dan Campuran Veteran.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah danYTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman ketika berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Badminton Terbuka Aewon di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.
Aksi bertenaga YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim ketika perlawanan tersebut.