Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Berkenan berangkat pulang

    Gambar oleh Infofoto

    DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 30 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat balik meninggalkan Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) setelah selesai menghadiri Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2022 dan lawatan ke Ekspo 2020 Dubai.

    Berangkat mengiringi Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Sebelum berangkat meninggalkan tempat persemayaman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Berada di lapangan terbang bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Tenaga dan Infrastruktur, UAE, Tuan Yang Terutama Suhail Mohamed Al Mazrouei dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke UAE, Tuan Yang Terutama Haji Harun bin Haji Junid.

    Semasa keberangkatan kerja Baginda ke Dubai ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah ucaptama pada Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2022, yang antara lainnya menyentuh mengenai kepentingan menangani cabaran-cabaran semasa; membentuk kerajaan masa hadapan yang lebih baik dengan melibatkan penyertaan golongan belia dan wanita; saling bekerjasama secara meluas serta mewujudkan keamanan dan kestabilan bagi pembangunan ekonomi.

    Baginda Sultan juga mengadakan Majlis Perjumpaan bersama Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai, His Highness Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di mana kedua-dua pemimpin berbincang bagi mempertingkatkan hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan UAE, meningkatkan tahap perdagangan dan memudahkan kerjasama antara pelabur dari kedua-dua buah negara.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berpeluang melawat Ekspo 2020 Dubai iaitu Pavilion UAE. Di kesempatan ini juga, Baginda jelas gembira melihat sendiri akan kejayaan Pavilion Negara Brunei Darussalam mengikuti ekspo berkenaan yang berdasarkan kepada kesungguhan dan usaha para pengusaha tempatan mikro, kecil dan sederhana dalam memasarkan produk masing-masing di arena antarabangsa, sekali gus mendapat sambutan dan jumlah kunjungan yang tinggi ke pavilion berkenaan.

    Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah memeterai satu memorandum persefahaman baharu dengan Kerajaan UAE, iaitu mengenai The Recognition of Certificate Issued under the Provisions of the International Convention on Standards of Training, Certification and Watch Keeping for Seafarers, 1978 as amended, yang merupakan satu usaha untuk mengembangkan dan membangunkan industri maritim dan dapat diiktiraf bersama oleh kedua-dua buah negara.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah diiringi DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan berangkat pulang dari Dubai.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan berangkat pulang meninggalkan Dubai. TYT Suhail Mohamed Al Mazrouei berada di lapangan terbang bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...