Berkenan berangkat rai aidilfitri bersama AMBD

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri AMBD, hari ini.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke Dewan Bankuet, JPM itu dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah AMBD.

Turut menjunjung keberangkatan ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD, pihak pengurusan kanan AMBD dan pegawai serta kakitangan AMBD.

Sebelum berangkat ke Dewan Bankuet, Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD serta pihak pengurusan kanan AMBD.

Di majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia turut dijunjung untuk sesi bergambar ramai bersama warga AMBD di pondok gambar seterusnya menerima pesambah daripada Pengarah Urusan AMBD, Hajah Rokiah binti Haji Badar.

Majlis tersebut diadakan bukan sahaja sebagai platform bagi lembaga pengarah serta pihak pengurusan AMBD untuk menyambut bulan Syawal bersama pegawai dan kakitangan AMBD, tetapi juga merupakan tanda penghargaan di atas dedikasi dan komitmen warga AMBD dalam menyumbang kepada objektif AMBD sepanjang dekad yang lalu sejak penubuhannya pada 1 Januari 2011.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung bagi sesi bergambar ramai.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan berangkat bagi Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menerima pesambah semasa berangkat ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri AMBD, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani )
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan petak pameran.
Antara jemputan yang hadir ke majlis tersebut.