Berkenan berangkat rasmi majlis musabaqah Al-Quran

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 2019.

Berkenan berangkat sama ke Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik.

Keberangkatan tiba DYTM Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Pengiran Muda Abdul Malik dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Jabatan Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Turut menjunjung keberangkatan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1440 Hijrah; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1440 Hijrah serta ahli-ahli yang lain.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Ketua Hakim Syari’e, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah semasa berkenan mengurniakan sabda perasmian.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyampaikan sembah alu-aluan.

Antara peserta yang menyertai Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440H/2019M.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin dalam sembah alu-aluannya menyembahkan bahawa seramai 10 peserta berjaya memasuki peringkat akhir daripada 56 peserta yang bertanding.

“Ini dengan seorang johan qari dan seorang johan qariah pada tahun lepas sebagai johan menunggu dan menjadikan 12 peserta ke peringkat akhir,” jelasnya.

Beliau seterusnya menyembahkan, antara peserta di peringkat akhir berkenaan pernah menyertai Kursus Qari Qariah Muda yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Kursus khas berkenaan, jelasnya, mula diadakan pada 2015 yang didapati sangat membantu bagi peningkatan mutu bacaan Al-Quran di negara ini dan antara peserta telah mengharumkan negara dalam Musabaqah Membaca Al-Quran Belia-belia Asia Tenggara pada 2017.

Musabaqah kemudiannya dimulakan dengan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh dua orang peserta iaitu Awang Mohammad bin Ali dan Dayangku Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid ‘Pelajari Al-Quran’ oleh Kumpulan Nasyid Sautul Barakah, Gabungan Program Keugamaan Belia di bawah KHEU.

Musabaqah disambung semula dengan dua orang lagi peserta iaitu Haji Awang Muhd Fikri bin Haji Awang Metussin dan Dayang Siti Zahrina binti Abdul Wahab memperdengarkan bacaan mereka.

Majlis diakhiri dengan bacaan Sayyidul Istighfar beramai-ramai yang dikepalai oleh pelajar-pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Musabaqah yang membawa tema ‘Memperkasa Pembelajaran Al-Quran’ akan disambung pada esok malam dengan memperdengarkan bacaan lapan lagi peserta iaitu empat qari dan empat qariah, sementara itu pengumuman keputusan bagi menentukan johan qari dan qariah akan diadakan pada 14 Februari.