Berkenan berangkat rasmikan bangunan baharu PPS

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat merasmikan Bangunan Baharu Pusat Pendidikan Sekuriti (PPS), Cawangan Sekuriti Pertahanan, Jabatan Menteri Pertahanan dan Jabatanarah Perancangan Strategik yang berlangsung di Bolkiah Garison, Bandar Seri Begawan.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Bangunan Kementerian Pertahanan dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan untuk menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada enam pegawai dan 105 anggota lain-lain peringkat dari Batalion Kedua, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) yang diketuai oleh Pemerintah Kawalan Kehormatan, Mejar Pengiran Abdul Hadi bin Pengiran Idris dari Rejimen Pengawal Diraja.

Baginda kemudian dijunjung oleh Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir dan pengarah Jabatan Menteri Pertahanan dan Jabatanarah Perancangan Strategik, bagi merasmikan Bangunan Baharu PPS.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima Tabik Hormat Diraja. Mengiringi keberangkatan Baginda Sultan ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Baginda Sultan berkenan berangkat ke bilik Ruang Galeri bagi menyaksikan pameran-pameran sekuriti.

Doa Selamat kemudian dibacakan oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB, Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, Tentera Laut Diraja Brunei.

Selesai perasmian, Baginda Sultan beredar ke auditorium, di mana Baginda berkenan mengurniakan titah. Setelah itu, Baginda kemudian berangkat ke bilik Ruang Galeri bagi menyaksikan pameran-pameran sekuriti dan seterusnya dijunjung bagi melawat bilik-bilik kuliah di tingkat pertama.

Seterusnya Baginda Sultan berkenan melawat Pejabat Pentadbiran dan Pejabat Pelatih PPS di tingkat dua. Antara kemudahan yang terdapat di Bangunan PPS termasuk surau, kantin dan perpustakaan.

Selesai lawatan, Baginda Sultan bersama kerabat diraja dijunjung berangkat ke Bilik VVIP PPS bagi Majlis Santap Tengah hari.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Baginda Sultan dijunjung menandatangani lembaran kenangan dan menerima pesambah daripada Jabatan Menteri Pertahanan dan Jabatanarah Perancangan Strategik serta bergambar ramai bersama warga Cawangan Sekuriti Pertahanan, Jabatan Menteri Pertahanan dan Jabatanarah Perancangan Strategik.