Berkenan berangkat tiba di Jordan

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini berangkat tiba di Amman, Jordan bagi Keberangkatan Negara selama dua hari pada 3 dan 4 Oktober 2018.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Berangkat ke Royal Pavilion, Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman bagi mengalu-alukan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II ibn Al Hussein, Raja Jordan dan His Royal Highness Prince Al Hussein, Putera Mahkota Jordan.

Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Jordan, Dayang Siti Norsuriana binti Haji Mohamad Nor.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama-sama dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II seterusnya berangkat melintasi barisan kawalan kehormatan statik yang terdiri daripada para anggota Pengawal Diraja Jordan sebelum menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Amman, tempat persemayaman Baginda di sepanjang keberangkatan negara ini.

Keberangkatan KDYMM dijunjung oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman, kelmarin.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berkenan menadahkan tangan semasa Doa Selamat dibacakan.
DYTM Pengiran Muda Mahkota, DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berkenan menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia. – Gambar oleh Muiz Matdani

Semasa keberangkatan negara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan mengadakan kunjungan muhibah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II serta menghadiri Upacara Perbarisan Bendera Tahunan di Amman.

Kali terakhir Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Jordan adalah pada tahun 2009, manakala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II telah berangkat ke Negara Brunei Darussalam bagi keberangkatan negara dan Pameran dan Persidangan Pertahanan Antarabangsa Negara Brunei Darussalam (BRIDEX) masing-masing pada tahun 2008 dan 2009.

Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Jordan telah dijalin pada 18 Februari 1985.

Kedua-dua buah negara bekerjasama secara meluas dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan, pendidikan, hal ehwal keagamaan, kesihatan, perdagangan, kebudayaan, belia dan sukan.

Terdahulu di Istana Nurul Iman, sebelum berangkat ke Amman, Doa Selamat telah dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Berangkat ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Turut hadir bagi menyembahkan selamat berangkat ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara; menteri-menteri kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja; timbalan-timbalan menteri dan pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei.