Berkenan bertahlil di Kubah Makam Diraja

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Bersempena bulan Ramadan yang mubarak ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah mengadakan majlis bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini, sebagai salah satu daripada aktiviti tahunan dalam bulan Ramadan.

Berangkat ke majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.

Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Pengarah Urusan Yayasan, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.

Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Ketua Penasihat Undang-Undang Kanan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim, para pegawai dan kakitangan Yayasan, guru-guru sekolah Yayasan serta penduduk Rancangan Perumahan Yayasan Kampung Bolkiah ‘A’ dan Kampung Bolkiah ‘B’.

Pada majlis berkenaan, bacaan Yasin dan Tahlil diketuai oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan menjirus air Asah-Asahan selepas majlis bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, kelmarin.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menadah tangan semasa doa dibacakan pada majlis tersebut.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menerima junjung ziarah daripada ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim.
Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim bersama mereka yang hadir pada majlis tersebut.