ANKARA, 6 FEB – Ratu Britain Elizabeth II berkata pada awal hari ini bahawa Baginda berkenan menantunya Camilla, Duchess of Cornwall, menggunakan gelaran Raja Permaisuri apabila anak lelakinya Putera Charles ditabalkan menjadi raja.
Dalam perutusan sempena ulang tahun menduduki takhta yang ke-70 tahun, Ratu Elizabeth mengucapkan terima kasih kepada rakyat jelata dan kaum kerabatnya atas sokongan yang telah diberikan selama ini, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Dan apabila tiba masanya, anak-anda beta Putera Charles ditabalkan menjadi raja, beta yakin awda akan memberikannya dan isterinya Camilla sokongan yang sama seperti yang telah awda berikan kepada beta; dan adalah menjadi harapan setulus ikhlas, apabila tiba masanya, Camilla akan dikenali sebagai raja permaisuri dan beliau akan meneruskan khidmat setianya sendiri,” katanya.
Era pemerintahan Ratu Elizabeth II, telah mencecah Jubli Platinum iaitu 70 tahun bertakhta sekali gus menyaksikannya sebagai pemerintah paling lama berkhidmat dalam sejarah Britain.
Istana Buckingham awal tahun ini menyiarkan senarai acara perayaan yang dirancang bagi sambutan berkenaan pada musim panas, termasuk konsert, upacara khas, pesta jalanan dan cuti tambahan untuk rakyat jelata. – Bernama