BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat menghadiri Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang akan berlangsung pada 15 hingga 17 November di San Francisco, Amerika Syarikat (AS).
AS merupakan tuan rumah bagi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun 2023 yang membawakan tema Mewujudkan Masa Depan yang Berdaya tahan dan Mampan untuk Semua.
AELM, yang akan dipengerusikan oleh Presiden AS, Tuan Yang Terutama Joseph R. Biden Jr sebagai Pengerusi APEC bagi 2023, adalah sebahagian daripada Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) dan akan mengakhiri tempoh AS selaku tuan rumah APEC.
APEC telah ditubuhkan pada 1989 sebagai forum ekonomi serantau untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia Pasifik dan untuk mempromosikan perdagangan dan pelaburan yang bebas, adil dan terbuka.
Ahli-ahli pengasasnya ialah Australia, Negara Brunei Darussalam, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan AS.
AELM yang pertama telah dipengerusikan oleh AS di Blake Island, Washington pada 20 November 1993.
APEC terdiri daripada 21 ekonomi di rantau Asia Pasifik iaitu Australia; Negara Brunei Darussalam; Kanada; Chile; Republik Rakyat China; Hong Kong, China; Indonesia; Jepun; Republik Korea; Malaysia; Mexico; New Zealand; Papua New Guinea; Peru; Republik Filipina; Persekutuan Rusia; Singapura; Chinese Taipei; Thailand; AS dan Vietnam.
