Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Berkenan hadiri Kejohanan Badminton Terbuka Aewon 2021

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menghadiri Kejohanan Badminton Terbuka Aewon 2021 di Pusat Belia di ibu negara hari ini.

    Turut berangkat pada kejohanan tersebut ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.

    Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim bersama gandingannya, Dessen Chung Min Tin mara ke final bagi kategori Beregu Lelaki Bawah 14 Tahun (B-14) berikutan kemenangan straight set 21-11 21-9 ke atas pasangan Mohd Mirza Afif Syahmi dan Mohd Syarifuddin Ermadena.

    Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Dessen Chung akan bertemu gandingan Mohd Talipuddin Ermadena dan Mohd Haziq Rozie pada perlawanan akhir esok. Dalam empat lagi perlawanan terakhir, Mohd Talipuddin Ermadena dan Mohd Haziq Rozie mendapat kemenangan straight set 21-12 21-15 ke atas Muttaqiy dan Zarfan.

    Kejohanan Badminton B-14 pada hari ini turut menyaksikan peringkat akhir bagi kategori Perseorangan Lelaki, Beregu Wanita Terbuka dan Beregu Lelaki Terbuka Kategori B.

    Selain perlawanan akhir Beregu Lelaki B-14, baki perlawanan akhir dalam Beregu Campuran Terbuka, Perseorangan Lelaki, Beregu Lelaki Veteran Terbuka dan Beregu Lelaki Terbuka Kategori A juga akan dipertandingkan.

    Kejohanan badminton yang dianjurkan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ke-75 itu sebelum ini telah ditangguhkan gelombang kedua pandemik COVID Ogos lalu.

    Namun begitu, ia diteruskan semula pada 4 Julai di tengah-tengah penyambungan semula pertandingan dan aktiviti sukan, yang berkuat kuasa awal bulan lalu.

    Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNBA) dengan kerjasama Aewon Brunei dan disokong oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke Kejohanan Badminton Terbuka Aewon 2021 yang disertai oleh anakanda, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim di Pusat Belia di ibu negara, malam tadi. Turut berangkat pada kejohanan tersebut ialah YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah. – Gambar oleh Infofoto
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut. – Gambar serahan Infofoto

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...