Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan hadiri Majlis Penangguhan Regata Sarawak

    KUCHING, SARAWAK, 3 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Penangguhan Regata Sarawak – Festival Dermaga Kuching 2024 yang berlangsung di Kuching, Sarawak, Malaysia.

    Sejurus keberangkatan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar; Premier Sarawak, TYT Dato Seri Setia Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg; dan Timbalan Premier Sarawak, TYT Dato Paduka Seri Laila Jasa Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, selaku Menteri Pengiring.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat ke Festival Dermaga Kuching yang mana keberangkatan tiba Baginda dijunjung oleh TYT Premier Sarawak dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, TYT Dato Sri Haji Abdul Karim bin Rahman Hamzah merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi festival tersebut.

    Semasa acara tersebut, Baginda berkenan menyaksikan dua kategori perlumbaan perahu iaitu Acara Perahu Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki (VIP) (Terbuka) dan Acara Kemuncak Regata Sarawak, perlumbaan akhir Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Tempatan) bagi merebut gelaran ‘Raja Sungai 2024’.

    Selesai perlumbaan-perlumbaan perahu berkenaan, Baginda berkenan mengurniakan hadiah-hadiah kepada pasukan-pasukan pemenang termasuk Piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan hadiah-hadiah kepada pasukan yang menjuarai kategori Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Tempatan) yang dinobatkan menjadi ‘Raja Sungai 2024’ dan Piala kategori Perahu Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki (VIP) (Terbuka) di mana Pasukan Lumba Perahu Negara Brunei Darussalam telah berjaya memenangi tempat ketiga bagi acara tersebut.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin, berkenan berangkat menghadiri Majlis Penangguhan Regata Sarawak – Festival Dermaga Kuching 2024 yang berlangsung di Kuching, Sarawak, Malaysia. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama pekayuh-pekayuh dari Negara Brunei Darussalam. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Keberangkatan Baginda Sultan dijunjung oleh TYT Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan semasa berangkat tiba di hotel persemayaman. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat menghadiri Majlis Santap Petang di Hotel Hilton, Kuching.

    Sebelum berangkat balik dari Kuching, Doa Selamat telah dibacakan oleh Timbalan Imam Besar Sarawak, Haji Mohammad Ihsan bin Haji Haidzir.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi menyembahkan ucapan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak; TYT Premier Sarawak dan TYT Timbalan Premier Sarawak selaku Menteri Pengiring.

    Regata Sarawak yang berlangsung di sepanjang Sungai Sarawak telah mula diperkenalkan pada tahun 1872 dan sejak itu, ia diadakan pada hampir setiap tahun bagi mempertandingkan perlumbaan-perlumbaan perahu yang disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta serta negara-negara jiran termasuk Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia.

    Tambahan lagi, dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Kuching ini bukan sahaja merapatkan lagi persahabatan di antara Negara Brunei Darussalam dan Negeri Sarawak, malah ia turut mencerminkan minat Baginda khususnya dalam bidang sukan lumba perahu, di samping menyerikan lagi suasana regata yang sangat dinanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat Sarawak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda