Saturday, September 23, 2023
24.8 C
Brunei

    -

    Berkenan hadiri pelbagai acara di Jakarta

    JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, 5 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Pembukaan Forum ASEAN-Indo-Pasifik, Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan perjumpaan dua hala bersama Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Kay Rala Xanana Gusmao.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Majlis Pembukaan Forum ASEAN-Indo-Pasifik

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berangkat menghadiri Majlis Pembukaan Forum ASEAN-Indo-Pasifik yang berlangsung di Hotel Mulia, Jakarta.

    Forum yang dirasmikan oleh Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Joko Widodo ini antara lainnya merupakan platform untuk membincangkan pembangunan infrastruktur hijau dan rangkaian bekalan yang mampan; pembiayaan yang berdaya tahan dan inovatif; transformasi digital yang inklusif; dan ekonomi kreatif.

    Selepas majlis pembukaan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat bersama para pemimpin lainnya bagi melawat pameran projek-projek inovasi yang berjalan di wilayah Indo-Pasifik.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai bersama pemimpin-pemimpin negara ASEAN lain dan Timor-Leste pada Majlis Pembukaan Forum ASEAN-Indo-Pasifik di Hotel Mulia, Jakarta. – Gambar oleh Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengadakan perjumpaan dua hala bersama TYT Kay Rala Xanana Gusmao. – Gambar oleh Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama para pemimpin ASEAN semasa Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Pusat Konvensyen Jakarta. – Gambar oleh Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menghadiri Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, di Pusat Konvensyen Jakarta. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat bersama para pemimpin lainnya bagi melawat pameran projek-projek inovasi yang berjalan di wilayah Indo-Pasifik selepas Majlis Pembukaan Forum ASEAN-Indo-Pasifik. – Gambar oleh Infofoto

    Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN ke-43

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat menghadiri Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta.

    Semasa sesi berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menyatakan kebimbangan mengenai persaingan sengit antara kuasa besar serantau dan global, yang boleh mengakibatkan kesalahfahaman dan salah perkiraan serta meningkatkan ketegangan serantau. Persaingan itu berisiko menjejaskan pertumbuhan dan kemakmuran yang telah dicapai selama beberapa dekad.

    Dalam perkara ini, Baginda menekankan ASEAN perlu bersatu menegakkan centrality untuk kekal relevan serta memelihara keamanan dan kemakmuran serantau.

    ASEAN juga harus tetap menjadi lambang kerjasama serta tidak menyebelahi mana-mana pihak di tengah-tengah persaingan kuasa besar. Baginda menambah bahawa dengan memilih sebelah pihak hanya akan melemahkan seni bina serantau.

    Ke arah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan penghargaan ke atas usaha-usaha Indonesia dalam melaksanakan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific, termasuk menganjurkan Forum ASEAN-Indo-Pasifik yang menghimpunkan rakan-rakan ASEAN untuk terus bekerjasama bagi menunjukkan komitmen ASEAN untuk mencapai seni bina serantau yang terbuka, telus dan inklusif.

    Dalam mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan penghargaan kepada Indonesia selaku Pengerusi ASEAN dan juga kepada negara-negara jiran Myanmar atas usaha-usaha mereka di sepanjang tahun ini untuk menggalakkan dialog dan perundingan dengan semua pihak yang berkenaan yang telah menghasilkan beberapa perkembangan positif di Myanmar.

    Perkara berkenaan perlu diteruskan dan dialog di peringkat kebangsaan dalam kalangan pihak-pihak yang berkepentingan adalah digalakkan.

    Di samping itu, Baginda juga menyatakan pendapat bahawa perjumpaan-perjumpaan sedemikian adalah selaras dengan Konsensus Lima Perkara yang bertujuan untuk membantu Myanmar mencari jalan penyelesaian berjangka panjang dan inklusif yang dimiliki dan diterajui Myanmar.

    Pada sesi tersebut, perbincangan para pemimpin tertumpu pada pelaksanaan Konsensus Lima Perkara dan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific.

    Perjumpaan dua hala bersama Perdana Menteri Timor-Leste

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berangkat menghadiri Perjumpaan Dua Hala bersama TYT Kay Rala Xanana Gusmao di mana kedua-dua pemimpin berbincang bagi memperkukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua buah negara dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

    Di samping itu, Baginda turut menyampaikan undangan kepada Tuan Yang Terutama bagi mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam.

    Tuan Yang Terutama juga menjunjung Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk berangkat mengadakan lawatan ke Republik Demokratik Timor-Leste pada 2024.

    Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Timor-Leste telah dijalinkan pada 20 Mei 2002, di mana kerjasama dua hala adalah tertumpu kepada bidang pendidikan dan latihan serta perkhidmatan udara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...