Berkenan hadiri perhimpunan pemimpin ASEAN

Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini selamat berangkat tiba di Denpasar, Bali, Republik Indonesia bagi menghadiri Perhimpunan Para Pemimpin ASEAN (ASEAN Leaders’ Gathering) yang akan diadakan pada 11 Oktober 2018.

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Tuan Yang Terutama Jenderal TNI (B) Dr H Wiranto SH, Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan; Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko, duta besar istimewa dan mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam serta para pegawai kanan daripada Republik Indonesia.

Turut menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abdul Rahman.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkan dengan jambangan bunga. Baginda kemudiannya dijunjung menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel terkemuka di Bali, tempat persemayaman Baginda di sepanjang keberangkatan ini.

Perhimpunan Para Pemimpin ASEAN menjadi platform untuk penglibatan lanjut antara para pemimpin ASEAN dengan pengarah urusan IMF, presiden Bank Dunia, dan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Perhimpunan ini akan membincangkan isu-isu utama yang berkaitan dengan membangun secara sinergi dalam mengukuhkan kestabilan kewangan di rantau ini dan mempercepatkan pembangunan ekonomi dan integrasi serantau serta meneroka kerjasama yang berpotensi bagi mencapai matlamat pembangunan.

Terdahulu sebelum berangkat di Istana Nurul Iman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Berangkat sama dan hadir di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; menteri-menteri kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja; timbalan-timbalan menteri; pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei; dan pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang kelmarin selamat berangkat tiba di Denpasar, Bali, Republik Indonesia bagi menghadiri Perhimpunan Para Pemimpin ASEAN (ASEAN Leaders’ Gathering) yang akan diadakan pada 11 Oktober 2018. – Gambar Infofoto
KDYMM ketika berkenan dijunjung oleh Tuan Yang Terutama Jenderal TNI (B) Dr H Wiranto SH.
KDYMM ketika berkenan menerima junjung ziarah daripada delegasi Negara Brunei Darussalam yang berada di Bali.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima junjung ziarah daripada menteri-menteri kabinet dan para pembesar negara sebelum berangkat ke Bali, Republik Indonesia bagi menghadiri Perhimpunan Para Pemimpin ASEAN.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah , Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan menadahkan tangan semasa Doa Selamat dibacakan di Istana Nurul Iman.
Berkenan berangkat bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis KDYMM ialah DYTM Pengiran Muda Mahkota, DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.
Semasa Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.