Berkenan ke Majlis Khatam Yayasan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran sempena Bulan Ramadan 1443H/2022M yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, hari ini.

Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku ahli Jemaah Tadbir Yayasan dan Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan takhtim Al-Quran oleh 30 orang pegawai dan kakitangan yang dipimpin oleh guru Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dr Haji Samsul Muawan bin Haji Shodiq.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Khatam dan Doa Selamat oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin sebelum diteruskan lagi dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan ketika berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran sempena Bulan Ramadan 1443H/2022M yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menunaikan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah di akhir majlis.
Antara yang menyertai majlis khatam berkenaan.