Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Berkenan ke Majlis Sambutan Hari Guru ke-32

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru ke-32, di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku pengerusi bersama majlis serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-32.

    Majlis berkenaan juga dihadiri sekitar 6,500 orang pendidik dari seluruh negara.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan bahawa dengan tema ‘Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan’, Sambutan Hari Guru tahun ini diraikan dalam suasana dunia mengharungi impak daripada penularan pandemik COVID.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien kepada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.
    ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Anugerah Guru Berjasa 2020 kepada Profesor Madya Dr Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid dan Datin Paduka Hajah Azizah binti Penglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah.

    ATAS & BAWAH: Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Guru Berjasa 2021 kepada Haji Mohd Daud @ Haji Mokti bin Taha dan Datin Paduka Dr Hajah Masnon binti Haji Ibrahim.

    ATAS & BAWAH: Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Guru Berjasa 2022 kepada Dr Haji Azaharaini bin Haji Mohd Jamil dan Datin Paduka Hajah Zasia binti Sirin.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan beramah mesra bersama guru-guru dan peserta persembahan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat menyaksikan pameran.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan dijunjung bergambar ramai semasa berangkat menyaksikan pameran.

    “Di sebalik cabaran ini, kita telah dapat melihat betapa para guru terus gigih mendidik para pelajar demi memastikan kelestarian pembangunan generasi kita di negara ini.

    “Cabaran pandemik COVID-19 telah dijadikan peluang oleh para guru untuk lebih kreatif, dinamik dan adaptable dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran,” sembahnya.

    Beliau juga menyembahkan bahawa bagi membantu pelajar-pelajar yang terkesan oleh pandemik COVID, kementeriannya telah merangka strategi-strategi tindak balas dan pemulihan pendidikan dalam memastikan pelajar-pelajar, termasuk yang berkeperluan khas, dapat kembali ke tahap pendidikan yang diharapkan.

    Dalam hal tersebut, menurutnya, pemimpin sekolah terus memainkan peranan yang amat penting dalam mendukung transformasi pendidikan.

    Majlis diikuti dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan diteruskan dengan tayangan klip video Hari Guru yang mempamerkan aspek pedagogi dan evolusi teknologi dalam pendidikan formal dan agama di negara ini melalui perspektif guru.

    Acara diikuti lagi dengan persembahan medley gabungan empat buah lagu yang termasuk lagu tema Hari Guru ke-32 iaitu ‘Guruku Harapan Negara’ dan tiga buah lagu nostalgia iaitu ‘Guru Bijaksana Penjana Generasi Berwawasan’, ‘Jasamu Guru’ dan ‘Guru Kaulah Pelita’.

    Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyempurnakan pengurniaan anugerah-anugerah Hari Guru ke-32 kepada para penerima tahun 2020, 2021 dan 2022.

    Di akhir majlis, Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain dijunjung berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para penerima anugerah dan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi sambutan dan seterusnya dijunjung berangkat menyaksikan Pameran Sempena Sambutan Hari Guru ke-32, di ruang legar.

    Konsep pameran tahun ini menjurus kepada dua bahagian iaitu Ruang Centrepiece yang mengongsikan petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Syair Al-Marhum Begawan Sultan; dan Dewan Pameran iaitu Transformasi Pendidikan sebelum, semasa dan selepas COVID di Negara Brunei Darussalam

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menerima junjung ziarah daripada guru-guru, pelajar-pelajar, siswa dan siswi dari pelbagai peringkat pendidikan dan institusi serta peserta-peserta persembahan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...