Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Komandan Polis Wanita, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) petang tadi berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra dan Santap Petang anjuran Polis Wanita PPDB.
Keberangkatan Yang Teramat Mulia di Dewan Bankuet Mes Pegawai, lbu Pejabat Polis Gadong dijunjung oleh Penolong Pesuruhjaya Polis, Dayang Masni binti Haji Jamil selaku pengerusi majlis dan ahli-ahli jawatankuasa majlis berkenaan.
Seramai 250 anggota polis wanita termasuk pegawai, jemputan-jemputan khas, anggota pangkat rendah serta kakitangan awam PPDB menghadiri majlis berkenaan.
Majlis Santap Petang itu merupakan suatu penghargaan kehadapan majlis Yang Teramat Mulia selaku Komandan Polis Wanita dari Polis Wanita.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Yang Teramat Mulia berkenan menerima junjung ziarah daripada para jemputan khas dan pegawai serta anggota Polis Wanita dan kakitangan awam PPDB.
