Sunday, June 4, 2023
27 C
Brunei

    -

    Berkenan ke sambutan pertabalan King Charles III

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Pemangku Menteri Hal Ehwal Luar Negeri berkenan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Istiadat Pertabalan His Majesty King Charles III dan Her Majesty Queen Camilla di Negara Brunei Darussalam yang dihoskan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Keberangkatan tiba YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dialu-alukan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe berserta isteri.

    Pada majlis berkenaan, para jemputan berpeluang untuk menyaksikan istiadat pertabalan yang berlangsung di United Kingdom yang distrimkan secara langsung.

    TYT John Virgoe dalam sembah alu-aluannya menyatakan bahawa istiadat pertabalan berkenaan merupakan satu istiadat penuh bersejarah bagi United Kingdom.

    Beliau turut menyatakan perasaan gembira atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen bagi menghadiri istiadat pertabalan berkenaan di mana ia menunjukkan hubungan persahabatan yang amat akrab di antara keluarga diraja kedua-dua buah negara.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan bergambar ramai bersama TYT John Virgoe berserta isteri serta pegawai-pegawai kanan dari Suruhanjaya Tinggi British.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna semasa berkenan mengadakan lawatan ke gerai barangan SMARTER Brunei.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna semasa berkenan menerima pesambah daripada TYT John Virgoe pada majlis di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan.
    TYT John Virgoe semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

    Beliau turut mengongsi bahawa kontinjen Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut menyertai 30 angkatan tentera terdiri dari negara-negara Komanwel mengambil bahagian dalam Istiadat Pertabalan His Majesty King Charles III.

    TYT John Virgoe seterusnya melahirkan kegembiraan kerana dapat meraikan istiadat penuh bersejarah berkenaan dengan warga komuniti British di Negara Brunei Darussalam bersama rakan-rakan Brunei yang mempunyai hubungan dengan UK.

    Beliau berkata bahawa sambutan itu bukan sahaja mencerminkan tradisi yang diketengahkan tetapi juga menyokong tema yang amat dekat bagi raja mereka iaitu belia, komuniti, kepelbagaian dan kemapanan.

    Majlis kemudian menyaksikan TYT John Virgoe menyembahkan pesambah ke hadapan majlis YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

    Majlis sambutan berkenaan telah dihadiri oleh tetamu khas yang merangkumi pegawai-pegawai kerajaan, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi dan duta-duta daripada negara-negara sahabat.

    Rakan-rakan perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) serta komuniti British di Negara Brunei Darussalam dan alumni UK.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kerja menyelamat kemalangan kereta api korbankan lebih 300 orang ditamatkan

    BALASORE, 4 JUN - Selepas kerja menyelamat selesai, pihak berkuasa mula membersihkan serpihan dua kereta api penumpang yang tergelincir di timur India, membunuh lebih...
    - Advertisment -