Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Berkenan ke Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan HUT ABDB ke-61

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-61 di Pangkalan Muara, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

    Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Padang Kawad TLDB dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; dan pemangku setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, berserta pemerintah-pemerintah angkatan tentera dan pemerintah angkatan bersama.

    Sejurus ketibaan, Baginda dijunjung beredar ke Padang Kawad TLDB bagi menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa barisan pasukan-pasukan perbarisan raksasa seramai 1,049 orang anggota ABDB yang terdiri daripada Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), TLDB, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Rejimen Pasukan Khas, Gabungan Askar Wanita dan Pancaragam ABDB di bawah Pemerintah Perbarisan, Komander Mohammad Azrin bin Haji Mahmud, TLDB.

    Upacara kemudian disusuli dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat oleh pasukan-pasukan perbarisan dengan panji-panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan panji-panji Pasukan ABDB dan diikuti dengan perbarisan mara ke hadapan untuk diperhatikan semula.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan memeriksa pasukan-pasukan perbarisan pada Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan HUT ABDB ke-61 di Pangkalan Muara, TLDB, kelmarin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bergambar ramai semasa berangkat menyaksikan pameran statik TUDB.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan berkenan memandu kenderaan khas TDDB LTATV bagi menyaksikan pameran statik daripada unit-unit ABDB selepas Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan HUT ABDB ke-61 di Pangkalan Muara, TLDB, kelmarin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan berkenan berangkat menyaksikan pameran statik daripada unit-unit ABDB. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
    Baginda Sultan berkenan dijunjung memotong kek sempena Sambutan HUT ABDB ke-61. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Infofoto
    Baginda Sultan berkenan berangkat menyaksikan Pusat Simulasi Kastila sejurus selepas merasmikannya. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke-61 telah berlangsung di Pangkalan Muara, TLDB, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengurniakan titah yang di-ikuti dengan tiga kali laungan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ disembahkan kehadapan majlis Baginda bagi menyemarakkan lagi sambutan sekali gus gagasan semangat seluruh warga ABDB.

    Bagi memberkati upacara, Doa Selamat telah dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, TLDB.

    Seterusnya, Baginda Sultan disembahkan dengan Tabik Hormat Diraja yang diikuti dengan terbang lalu pesawat-pesawat TUDB dan sail pass TLDB yang merangkumi tiga kapal iaitu KDB Darulehsan, KDB Afiat dan KDB Serasa.

    Sejurus itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota serta kerabat diraja berangkat ke Pusat Latihan Tentera Laut (PLTL) bagi menyaksikan pameran statik daripada unit-unit ABDB menggunakan kenderaan khas TDDB Light Tactical All-Terrain Vehicle (LTATV).

    Baginda dan kerabat diraja berkenan berangkat menyaksikan pameran-pameran statik yang disembahkan oleh TDDB dan TLDB.

    Baginda Sultan juga berkenan berangkat ke penauliahan Pusat Simulasi Kastila bagi Full Mission Bridge Simulator (FMBS) TLDB dan menyaksikan pameran statik Diplomasi Pertahaan daripada Jabatanarah Perisikan, Kementerian Pertahanan.

    Selepas itu, Baginda dijunjung berangkat bagi junjung ziarah bersama penerima-penerima Biasiswa Pemerintah Tertinggi ABDB dan biasiswa ABDB yang sedang berada di Negara Brunei Darussalam.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja kemudiannya berangkat ke Dewan Nakhoda bagi majlis ramah mesra bersama pegawai-pegawai tidak bertauliah (PTB) rendah ABDB dan di-ikuti dengan beramah mesra bersama pegawai dan anggota yang telah menamatkan Misi Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT), Independent Decommissioning Body Verification and Monitoring Assistance Team (IDB VMAT) dan Misi Pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) bagi Batalion Malaysia (MALBATT).

    Baginda dan kerabat diraja juga berkenan berangkat bagi menyaksikan pameran statik daripada TUDB serta Pelancaran Skuadron 39 Unmanned Aerial System (UAS), TUDB.

    Setelah itu, Baginda berangkat ke Mes Pegawai Waran, Bintara Kanan dan Bintara, TLDB bagi majlis ramah mesra bersama PTB kanan ABDB.

    Akhir sekali, Baginda dan kerabat diraja dijunjung berangkat ke Mes Pega-wai TLDB bagi upacara memotong kek sempena Sambutan HUT ABDB ke-61, yang diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh Pemangku Pengarah JAMA’AT, sebelum berangkat ke majlis santap tengah hari.

    Tema Sambutan HUT ABDB tahun ini iaitu ‘Bersama Menjayakan Wawasan Negara’ merupakan penghayatan ABDB sebagai sebuah organisasi yang maju dan bersatu padu setia kepada raja dan negara; mengamalkan nilai-nilai mulia bagi bersama-sama menjayakan ke arah pencapaian wawasan negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...