Berkenan kurnia anugerah CIPTA

Oleh Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan

Anugerah CIPTA Pengiran Muda Mahkota 2019 yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, di sini, hari ini.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman; Pemangku Naib Canselor UTB, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh dan Pengarah Urusan Brunei LNG Sdn Bhd, Dr Patrice Girard.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Tenaga, (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

Dr Hajah Noor Maya dalam sembah alu-aluannya antara lain menjelaskan, tahun ini pertandingan telah menerima sebanyak 14 penyertaan dari negara-negara ASEAN dan perkara ini, menurutnya, boleh menjadi pemangkin kepada persaingan dalam negara serta menjadi petanda aras kepada kualiti penyertaan di setiap Pertandingan CIPTA Pengiran Muda Mahkota.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah CIPTA Pengiran Muda Mahkota 2019 kepada salah seorang pemenang di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan dijunjung bergambar ramai.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota semasa berkenan mengurniakan hadiah bagi Pertandingan Smart Junior kepada Projek My PenPal – Pen for Dyslexia dari Sekolah Menangah Chung Ching.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan hadiah pemenang bagi Kategori ASEAN Young Inventor kepada Projek Te Ractor dari SM Kebangsaan Tengku Lela Segara, Marang, Terengganu.
ATAS & BAWAH: DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan Pameran CIPTA Pengiran Muda Mahkota 2019.

ATAS & BAWAH: Antara jemputan yang hadir ke majlis tersebut.

Sembah alu-aluan Pemangku Naib Canselor UTB telah disusuli dengan persembahan multimedia dan pengaktifan mekanisme piala CIPTA.

Seperti pada dua tahun yang lalu, barisan panel hakim sepakat dalam memutuskan bahawa tiada pemenang yang layak menerima Piala Anugerah Pengiran Muda Mahkota 2019 yang mana syaratnya ialah projek berkenaan mestilah menyerlah berbanding projek lain dan mempunyai kualiti cemerlang serta mestilah mencapai markah keseluruhan sekurang-kurangnya 90 peratus.

Ringkasan penilaian keseluruhan ketua pengadil bagi penyertaan CIPTA 2019 diikuti dengan pengumuman pemenang pertandingan yang disembahkan oleh salah seorang hakim tempatan yang mewakili Komiti Teknikal CIPTA 2019, Awang Hirman bin Haji Abu.

Menurut Awang Hirman, sebanyak 41 penyertaan telah diterima pada pertandingan kali ini yang mana selepas penilaian pertama, ada 33 penyertaan yang berjaya disenarai pendekkan, sementara itu hanya 30 daripadanya berjaya mara ke pertandingan akhir.

“Panel hakim berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan peserta-peserta dari segi usaha, kesabaran serta pembentangan terhadap projek-projek mereka sama ada di peringkat konsep reka bentuk, prototaip atau pun produk akhir.

“Sebahagian produk tersebut sangat menarik dan mempunyai standard yang boleh meningkatkan kualiti kehidupan dan boleh digunakan oleh masyarakat umum dan sebahagiannya lagi mempunyai potensi untuk dimajukan hingga ke tahap pemasaran,” jelas Awang Hirman lagi.

Pada majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia selaku Penaung Anugerah CIPTA Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan hadiah berupa cek, piala dan sijil kepada semua peserta pertandingan dan kemudiannya menerima pesambah daripada Jawatankuasa CIPTA 2019 yang disembahkan oleh Pemangku Naib Canselor UTB sebelum Duli Yang Teramat Mulia dijunjung untuk menyaksikan pameran dan berinteraksi bersama para pemenang pertandingan CIPTA.

Pertandingan CIPTA (Creative, Innovative Product and Technological Advancement) dianjurkan dua tahun sekali oleh UTB dengan kerjasama dan tajaan Brunei LNG Sdn Bhd bertujuan menggalakkan inovasi dan kreativiti demi kemajuan negara.

CIPTA 2019 merupakan edisi kelapan semenjak ia dilancarkan secara rasmi pada 2005 dan tema tahun ini ialah Industri 4.0: Penggabungan Dalam Inovasi.