Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Berkenan kurnia anugerah Hari Belia ke-17

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menyempurnakan pengurniaan anugerah-anugerah bersempena dengan Hari Belia Kebangsaan ke-17 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku pengerusi jawatankuasa tertinggi sambutan, dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Pengurniaan Anugerah Belia Cemerlang, Anugerah Belia Berkhidmat, Anugerah Pemimpin Muda Belia dan Anu-gerah Projek Cemerlang untuk Belia itu merupakan kemuncak sambutan Hari Belia Kebangsaan tahun ini yang masih mengekalkan tema ‘Belia Siaga Masa Depan’.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Pemimpin Muda Belia kepada Awang Abdul Aziz.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Belia Berkhidmat kepada Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Anugerah Belia Cemerlang kepada Dr Mohammad Hilmy Baihaqy.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Projek Cemerlang untuk Belia kepada Awang Agus.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menyaksikan Pameran Hari Belia yang turut diadakan. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berswafoto bersama belia yang hadir. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan menyaksikan pameran yang diadakan sempena Hari Belia Kebangsaan ke-17 di ICC, kelmarin.
    Haji Abdul Mateen Bolkini mengetuai bacaan Ikrar Belia pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-17.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam sembah alu-aluannya menjelaskan bahawa tema sambutan tahun ini masih relevan dikekalkan dan selaras dengan hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha

    Mulia untuk melihat belia Brunei sentiasa bersiap siaga menghadapi cabaran masa depan khususnya dalam konteks Revolusi Industri Keempat dan perkembangan ekonomi digital dalam norma baharu yang banyak menghamparkan peluang dan perubahan.

    “Belia yang siaga masa depan adalah belia yang mempunyai kualiti luaran dan dalaman, berani mendepani perubahan serta menerokai bdang-bidang baharu yang bukan sahaja dapat menaikkan taraf hidup mereka sendiri malah dapat melonjakkan pembangunan masyarakat, bangsa dan negara ke tahap yang lebih tinggi dan mapan,” sembah Yang Berhormat Dato.

    Beliau antara lain juga menyembahkan mengenai penglibatan kementeriannya dalam melaksanakan kerja lima tahun belia di peringkat ASEAN.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa buat julung kalinya Festival Hari Belia Kebangsaan 2022 turut dilaksanakan bertujuan memeriahkan dan menyemarakkan lagi Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-17.

    “Festival ini dilaksanakan selama lima bulan mulai Ogos hingga Disember yang akan menumpukan kepada tujuh kluster iaitu keagamaan; kepimpinan dan pembangunan jati diri belia; kesukarelawanan dan kemasyarakatan; kebudayaan dan kesenian; keusahawanan; alam sekitar dan kesukanan yang turut mendukung kepada pembangunan dan pemerkasaan belia di negara ini,” jelas beliau.

    Majlis diteruskan dengan bacaan Ikrar Belia yang diketuai oleh penerima Anugerah Belia Berkhidmat, Hari Belia Kebangsaan 2021, Haji Abdul Mateen Bolkini bin Haji Ahmad.

    Acara diikuti dengan tayangan video dan persembahan khas belia.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Hari Belia Kebangsaan.

    Penerima Anugerah Belia Cemerlang ialah Dr Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof yang merupakan pensyarah, ketua Unit Perancangan Strategik dan ketua Unit Perhubungan Profesional di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), menerima sebuah trofi, Kain Jongsarat Bunga Bintang Gemilang, sijil penghargaan dan wang tunai $3,000.

    Anugerah Belia Berkhidmat dikurniakan kepada Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin yang merupakan penolong pegawai penerangan yang juga pengerusi dan pengasas bersama Projek Bina Ukhwah dan Projek Memperkasa Keluarga dan Pembangunan Ekonomi. Beliau menerima trofi, sebidang Kain Betabur Bunga Permata Bangsa, sijil penghargaan dan wang tunai $3,000.

    Anugerah Pemimpin Muda Belia pula dikurniakan kepada Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang merupakan ketua Kampung Sengkarai, Tutong, yang juga pengerusi dan pemimpin Pergerakan Belia Tutong.

    Beliau membawa pulang trofi, Kain Jongsarat Bunga Kebahagiaan, sijil penghargaan dan wang tunai $3,000.

    Manakala itu, Projek Bloodkad oleh Nextacloud Technologies Sdn Bhd memenangi Anugerah Projek Cemerlang.

    Awang Agus bin Muslim dari agensi tersebut menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai $3,500.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan berangkat menyaksikan Pameran Hari Belia dengan diiringi oleh paduka anakanda dan adinda.

    Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini disasarkan akan dapat melibatkan seramai 100,000 belia dari seluruh negara secara inklusif melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti utama dan sampingan di sepanjang tahun ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...