Berkenan kurnia bintang kebesaran

Oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T.) yang membawa gelaran ‘Dato Paduka Seri’ kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin.

Selepas Majlis Pengurniaan Bintang Kebesaran tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Panglima ATM pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

Turut hadir semasa majlis mengadap itu ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Menurut kenyataan dari Kementerian Pertahanan, pengurniaan bintang kebesaran kepada Panglima ATM tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap jasa dan bakti dalam meningkatkan hubungan ketenteraan di antara ABDB dan ATM.

Di bawah kepimpinan beliau, interaksi dua hala dan kerjasama antara ABDB dan ATM kian giat membangun dan berkembang. Kedua-dua angkatan tentera giat terlibat dalam pelbagai aktiviti ketenteraan sama ada melalui interaksi-interaksi profesional, kursus-kursus dan latihan dua hala. Interaksi yang meluas ini telah meningkatkan keakraban dan persahabatan antara anggota-anggota kedua-dua angkatan.

Sementara di ruang berasingan di Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap isteri kepada Panglima ATM, Puan Sri Datin Seri Hajah Rusnah binti Haji A.Rahman. Beliau diiringi oleh isteri Pemerintah ABDB, Datin Hajah Rasidah binti Haji Brahim.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam, Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T.) yang membawa gelaran ‘Dato Paduka Seri’ kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada Panglima ATM.
Baginda Sultan berkenan menerima pesambah daripada Panglima ATM. – Gambar oleh Infofoto
KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap isteri Panglima ATM yang turut diiringi isteri Pemerintah ABDB. – Gambar oleh Infofoto
Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan Pemerintah ABDB turut hadir pada majlis pengurniaan bintang kebesaran.