Berkenan kurnia dan terima watikah pelantikan

Oleh Ak ZakiKasharan
Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan mengurniakan dan menerima surat-surat watikah pelantikan kepada ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baharu dan surat tauliah pelantikan daripada ketua-ketua perwakilan asing baharu ke negara ini pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

Mula-mula Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan surat-surat watikah pelantikan kepada Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom dan Eire, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Kesatuan Myanmar, TYT Pengiran Muhammad Husaini bin Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Persekutuan Jerman, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Krtini binti Pengiran Haji Tahir; Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland, PYT Dayangku Hajah Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee; dan Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Sekretariat ASEAN di Jakarta, Republik Indonesia, PYT Pengiran Hairani binti Pengiran Haji Tajuddin.

Baginda seterusnya berkenan menerima surat-surat tauliah pelantikan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kemboja ke Negara Brunei Darussalam, TYT Hok Sophea; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, TYT Tran Van Khoa.

Baginda kemudiannya berkenan menerima mengadap perwakilan negara dan perwakilan asing yang baharu dilantik secara berasingan.

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Mohd Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd Taha; dan Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan surat watikah pelantikan kepada pesuruhjaya tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom dan Eire pada majlis pengurniaan surat-surat tauliah pelantikan kepada ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baharu dilantik dan menerima surat tauliah pelantikan daripada ketua-ketua perwakilan yang baharu ke negara ini di Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada pesuruhjaya tinggi Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Baginda Sultan berkenan menerima surat tauliah pelantikan duta besar istimewa dan mutlak Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam.
Baginda Sultan berkenan menerima surat tauliah pelantikan duta besar istimewa dan mutlak kerajaan Kemboja ke Negara Brunei Darussalam.
Ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam diiring masuk bagi menerima surat tauliah pelantikan.