Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat bagi mengurniakan hadiah-hadiah kepada pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam Perlawanan Polo Persahabatan di antara Pasukan Brunei Polo dengan Pasukan Polo 61 Cavalry Indian Army yang berlangsung di Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.
Berangkat menyertai dan mengetuai Pasukan Polo Brunei ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah manakala Pasukan Polo 61 Cavalry diketuai oleh Kolonel Rajesh Pattu.
Dalam perlawanan itu Pasukan Polo Brunei menang dengan kiraan 10-4 dalam 4 chaka. Perlawanan persahabatan itu dianjurkan sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-70 tahun. Sebelum ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga pernah mengadakan perlawanan serupa dengan Pasukan Polo 61 Cavalry Indian Army.





Berangkat sama menyaksikan perlawanan itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Ameerah Wardatul Bolkiah serta Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.
Turut menyaksikan perlawanan tersebut ialah pemain-pemain polo Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Veteran.
Perlawanan Polo Persahabatan berkenaan melambangkan persahabatan muhibah di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua buah negara yang diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan persahabatan yang lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dengan Republik India dalam pelbagai bidang bagi kepentingan bersama.