Berkenan kurnia lencana pemerintah ABDB baharu

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini, berkenan mengurniakan lencana pangkat mejar jeneral kepada Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat serta berkenan melantik beliau sebagai pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-11.

Berangkat sama ke majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah, sebelum ini memegang beberapa jawatan penting termasuk pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) ke-14 bermula 15 Ogos 2018 hingga 28 Ogos 2020; pemerintah Angkatan Bersama dan ketua staf Markas Angkatan Bersama (MAB) ABDB.

Juga hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan mantan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Hadir sama ialah setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera; dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan serta ahli keluarga pemerintah ABDB yang baharu.

Pada majlis itu, Doa Selamat telah dibacakan oleh Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim dari Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), selaku ketua Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT).

Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap mantan pemerintah dan pemerintah ABDB yang baharu dilantik.

Pada majlis yang berasingan, KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha telah berkenan menerima mengadap isteri pemerintah ABDB yang baharu dilantik, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz dan isteri mantan pemerintah ABDB, Datin Hajah Rasidah binti Haji Brahim.

ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan lencana pangkat mejar jeneral kepada pemerintah baharu ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman. Turut berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. Sementara itu, KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha telah berkenan menerima mengadap isteri pemerintah ABDB yang baru dilantik, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz dan isteri mantan pemerintah ABDB, Datin Hajah Rasidah binti Haji Brahim. – Gambar oleh Infofoto

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai bersama Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah dan Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan berangkat ke majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman, kelmarin.
Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan bergambar ramai bersama pemerintah baharu ABDB dan keluarganya.
KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan bergambar bersama Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina dan Datin Hajah Rasidah pada majlis menerima mengadap di Istana Nurul Iman.