Berkenan kurnia surat watikah pelantikan

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan surat watikah pelantikan kepada pesuruhjaya tinggi Negara Brunei Darussalam yang baharu dan menerima surat-surat tauliah pelantikan daripada ketua-ketua perwakilan ke Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik di Istana Nurul Iman, petang tadi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan mengurniakan surat watikah pelantikan kepada Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Sidek bin Ali.

Baginda seterusnya berkenan menerima surat-surat tauliah pelantikan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Gerda Winkler; Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, TYT John Virgoe dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, PYT Tiffany Anne McDonald.

Selepas majlis mengurniakan surat watikah pelantikan dan majlis menyembahkan surat-surat tauliah pelantikan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura.

Baginda juga menerima mengadap ketua-ketua perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam yang baharu secara berasingan. Mula-mula, Baginda berkenan menerima mengadap PYT Gerda Winkler di mana turut hadir ialah Timbalan Duta Besar Republik Persekutuan Jerman di Negara Brunei Darussalam, Thomas Heilmaier.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima mengadap, TYT John Virgoe yang turut disertai oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Natalie Gowers-Barnes.

Seterusnya, Baginda berkenan menerima mengadap PYT Tiffany Anne McDonald yang turut dihadiri oleh Pembantu Penasihat Pertahanan, Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam, Leftenan Kolonel Daniel Hauser.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd Nawawi bin Allahyarham Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd Taha; Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar; dan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Dato Paduka Haji Mohd Nor bin Haji Jeludin.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan surat watikah pelantikan kepada Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, TYT Dato Paduka Haji Sidek dan menerima surat-surat tauliah pelantikan daripada ketua-ketua perwakilan ke Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik di Istana Nurul Iman, kelmarin.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan ketika berkenan menerima mengadap TYT Dato Paduka Haji Sidek.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menerima mengadap duta besar istimewa dan mutlak Republik Persekutuan Jerman ke Negara Brunei Darussalam yang baharu.
Baginda Sultan ketika berkenan menerima mengadap pesuruhjaya tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam yang baharu.
Baginda Sultan ketika berkenan menerima mengadap pesuruhjaya tinggi British ke Negara Brunei Darussalam yang baharu.
Baginda Sultan berkenan menerima surat tauliah pelantikan daripada TYT John Virgoe.
Baginda Sultan berkenan menerima surat tauliah pelantikan daripada PYT Tiffany Anne McDonald.
Baginda Sultan berkenan menerima surat tauliah pelantikan daripada PYT Gerda Winkler.