Berkenan kurnia, terima surat watikah pelantikan

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan mengurniakan surat-surat watikah pelantikan kepada ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan menerima surat-surat tauliah pelantikan daripada ketua-ketua perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam yang baharu di Istana Nurul Iman.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan mengurniakan surat-surat watikah pelantikan kepada Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin @ Haji Mohd Saidin; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Islam Iran, Tuan Yang Terutama Haji Ismail bin Haji Abdul Manap; dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Pengiran Abdul Samad bin Pengiran Haji Metassan.

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima surat-surat tauliah pelantikan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turki ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Hamit Ersoy; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kim Soung-eun; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abel Guterres; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah.

Selepas majlis-majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan ketua-ketua perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam yang baharu.

Turut hadir pada majlis-majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd Taha; dan Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan surat watikah pelantikan kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Islam Iran, TYT Haji Ismail bin Haji Abdul Manap. – Gambar oleh Infofoto
Baginda Sultan ketika berkenan menerima mengadap TYT Abel Guterres.
Baginda Sultan ketika berkenan menerima mengadap TYT Dato’ Raja Reza.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai bersama TYT Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud, TYT Haji Ismail dan TYT Pengiran Abdul Samad.
Baginda Sultan ketika berkenan menerima surat tauliah pelantikan daripada TYT Kim Soung-eun.
Baginda Sultan berkenan menerima surat tauliah pelantikan daripada TYT Hamit Ersoy.