Berkenan kurnia,terima watikah pelantikan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang tadi berkenan mengurniakan surat-surat watikah pelantikan kepada ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baharu dilantik dan menerima surat-surat tauliah pelantikan daripada ketua-ketua perwakilan asing yang baharu ke Negara Brunei Darussalam, pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan mengurniakan surat-surat watikah pelantikan kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Amman, Kerajaan Hasyimiah Jordan, Tuan Yang Terutama Haji Mahadi bin Haji Maidin; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Tokyo, Jepun, TYT Haji Shahbudin bin Haji Musa; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Seoul, Republik Korea, PYT Pengiran Hajah Nooriyah binti Pengiran Lela Wijaya Pengiran Haji Yussof; dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Dhaka, Republik Rakyat Bangladesh, TYT Haji Haris bin Othman.

Baginda Sultan seterusnya berkenan menerima surat-surat tauliah pelantikan daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, TYT Ismail bin Haji Salam; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, PYT Homeira Rigi Zirouki; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Matthew John Matthews.

Selepas Majlis Mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan dan Menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan menerima mengadap secara berasingan ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baharu dilantik dan ketua-ketua perwakilan asing yang baharu ke Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd Taha; dan Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baharu dilantik, di Istana Nurul Iman.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap TYT Ismail.
Baginda Sultan ketika berkenan menerima surat tauliah pelantikan daripada TYT Matthew John Matthews.
Baginda Sultan berkenan menerima pesambah daripada PYT Homeira Rigi Zirouki.