Berkenan lancar BDF 2019

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani dan Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat bercemar duli bagi menyempurnakan pelancaran Festival Disember Brunei (BDF) 2019 di Taman Haji Sir Muda Omar ’Ali Saifuddien.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong selaku pengerusi Lembaga Pelancongan Brunei Darussalam dan menteri-menteri kabinet yang lain. Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung mengurniakan titah perasmian bagi menyempurnakan pelancaran Acara BDF 2019.

Seterusnya Baginda berkenan menerima pesambah daripada ahli-ahli Jawatankuasa BDF 2019 diikuti dengan sesi bergambar ramai bersama menteri-menteri kabinet dan ahli-ahli Lembaga Pelancongan Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja turut berkenan mendahului ka-yuhan berbasikal sejauh 11.5 kilometer mengelilingi pusat bandar dan melalui jalan-jalan utama, antaranya Jalan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Kianggeh, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Haji Basir, Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan mengetuai kayuhan basikal mengelilingi Bandar Seri Begawan selepas pelancaran Festival Disember Brunei (BDF) 2019. – Gambar oleh Muiz Matdani
Baginda Sultan semasa berkenan dijunjung menyempurnakan majlis pelancaran Festival Disember Brunei 2019 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama orang ramai yang mengunjungi acara Festival Disember Brunei 2019.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bagi menyaksikan pameran sepanjang acara Festival Disember Brunei 2019 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyaksikan acara gusti lengan pada acara tersebut.
Baginda Sultan berkenan mengunjungi petak pameran Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dengan kerjasama BSP sempena aktiviti ‘Road Traffic Games.’

Antara aktiviti yang memeriahkan acara tersebut.
Para peserta yang mengikuti kayuhan basikal sejauh 11.5km di Bandar Seri Begawan.

Turut menyertai kayuhan tersebut ialah menteri-menteri kabinet dan timbalan menteri, duta-duta serta perwakilan negara asing, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, para jemputan dan orang ramai.

Selepas acara kayuhan basikal, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja dijunjung menyaksikan pameran-pameran oleh pengendali pesta makanan, pengendali festival Islam, pengendali acara-acara sukan dan aktiviti lasak, pengendali aktiviti seni kreatif dan kebudayaan dan pengendali aktiviti rekreasi dan juga rakan-rakan strategik BDF 2019.

Pameran yang menjadi tarikan utama semasa majlis pelancaran itu dan mendapat pengiktirafan dalam Brunei Book of Records ialah Pameran Domino Terbanyak menampilkan 60,000 keping domino yang telah disusun oleh penuntut-penuntut dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan kerjasama Reading and Literacy Association (ReLa) Brunei Darussalam yang menunjukkan beberapa corak menarik serta Pameran Kikik Bersambung-sambung sebanyak 215 kikik oleh Persatuan Pemain-pemain Kikik Brunei (PEKIKIK).

Turut menyertai pameran tersebut ialah Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT), Pusat Belia, Bandar Seri Begawan yang menjadi Urus Setia Sukarelawan BDF bagi mengumpulkan sukarelawan yang terdiri daripada belia-belia untuk membantu pengendali-pengendali acara dalam menjayakan acara-acara BDF 2019.

Acara BDF telah berjaya menarik lebih 90,000 pengunjung pada 2017 dan seramai 173,561 pengunjung pada 2018. Ini adalah kali ketiga acara BDF dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan didukung oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Kementerian Pendidikan; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Kementerian Kesihatan; Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Pengendaliannya adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk menggalakkan warga Brunei untuk aktif sambil bercuti dan menarik pelancong-pelancong untuk memilih Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Selain itu, ia juga merupakan platform bagi orang ramai di negara ini serta pelancong yang berkunjung ke negara ini untuk menyertai acara-acara dan aktiviti-aktiviti yang telah disusun.

Sebanyak 68 acara disusun sepanjang Disember ini seperti 2nd Brunei Offroad Challenge 2019, Brunei Coding Conquest 2019, Dinosaurs at Brunei City, Brunei Film Blitz 2019, Writers Festival: The Tiny Lit Fest dan lain-lain lagi.

BDF 2019 juga mencerminkan kerjasama kukuh antara agensi-agensi kerajaan, pihak swasta, institusi pendidikan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dalam mengungkayahkan acara-acara menarik sepanjang bulan Disember ini.