Berkenan lancar ISB BGIC ke-17

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, kelmarin, berkenan berangkat menyempurnakan Perasmian Persidangan Isu-isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB BGIC) ke-17 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa.

Di majlis berkenaan, Pengetua Eksekutif ISB, Laura Thomas dalam sembah alu-aluannya menyatakan bahawa pihak sekolah amat gembira kerana dapat menghoskan ISB BGIC untuk mempromosikan kerjasama dan kolaborasi bermakna pelbagai sektor dalam komuniti setempat, meningkatkan pengalaman pendidikan bagi manfaat penduduk dan negara dalam pemulihan pasca pandemik.

Beliau menyembahkan lagi bahawa persidangan yang dipimpin oleh pelajar untuk pelajar itu amat menghargai sokongan rakan kongsi persidangan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), yang menyaksikan penyertaan 22 buah sekolah dan pelajar di Negara Brunei Darussalam serta usaha berterusan untuk membangunkan kepimpinan belia dan meningkatkan pengalaman pembelajaran aktif di luar bilik darjah bagi manfaat belia negara.

Persidangan itu turut dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Juga hadir pada persidangan berkenaan ialah perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai sekolah dan wakil-wakil pelajar. Majlis itu turut ditayangkan secara langsung ke dewan sekolah berkenaan bagi delegasi-delegasi lain yang menyertai persidangan berkenaan.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ketika berkenan menyempurnakan perasmian ISB BGIC ke-17.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan dijunjung bagi bergambar ramai bersama wakil penaja-penaja.

Majlis diikuti dengan pembentangan ucaptama mengenai tema persidangan iaitu ‘Mengurangkan Ketidaksaksamaan’ yang disampaikan oleh dua orang pembentang undangan iaitu Pemangku Pengarah Jabatan Penjara, Haji Muhammad ‘Isamuddin bin Abdullah Juna dan ahli Lembaga An-Nur Harapan serta penyokong Program Uniklearn, Dayang Noorsurainah binti Tengah.

Pada majlis berkenaan, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan mengurniakan sabda dan menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil-wakil daripada 22 buah sekolah yang menyertai persidangan serta sijil penghargaan kepada penaja-penaja acara berkenaan.

Persidangan berkenaan ditaja oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Brunei LNG, Progresif Sdn Bhd dan Brunei Cement dengan sokongan daripada TLT Enterprise, Interhouse, D’Sunlit dan Brunei Press Sdn Bhd.

ISB BGIC ke-17 memberikan tumpuan kepada Matlamat Pembangunan Mampan ke-10 (SDG 10) iaitu mengurangkan ketidaksaksamaan di mana para delegasi akan berbahas serta membuat keputusan mengenai dengan resolusi untuk menangani ketidaksaksamaan berdasarkan kepada bangsa, jantina, usia dan peluang pendidikan.

Ketidaksaksamaan itu menjadi lebih teruk sejak pandemik COVID-19 di mana ia telah menyaksikan peningkatan ketidaksaksamaan harta, peluang, akses dan pelbagai jenis langkah-langkah masyarakat.

ISB BGIC merupakan persidangan yang mengikut stail model Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang diterajui oleh pelajar sekolah berkenaan di mana para peserta mewakili negara-negara untuk menyampaikan pelbagai pandangan mengenai isu-isu semasa dan dunia sebenar.

Inisiatif itu dihasratkan untuk membangunkan kefahaman para pelajar sebagai warga global dan kemahiran kritikal mereka dalam bidang penyelidikan, pertuturan awam dan perundingan.