Berkenan lawat kapal selam HMAS Dechaineux

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, kelmarin, berkenan berangkat mengadakan Lawatan Kerja ke Kapal Selam Australian Collins Class bernama HMAS
Dechaineux, yang merupakan kapal selam pertama berlabuh di Negara Brunei Darussalam, bermula Sabtu hingga esok.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Dermaga Komersial Muara dijunjung oleh Menteri Pertahanan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nicola Rosenblum; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah, pemerintah-pemerintah angkatan tentera dan pemerintah angkatan bersama serta Pemerintah Tentera Laut Diraja Australia, Laksamana Madya Michael Noonan.

Lawatan dimulakan dengan sembah taklimat keselamatan yang disembahkan oleh Pegawai Pemerintah HMAS Dechaineux, Komander Brad Francis. Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan menaiki kapal selam dan melawat mes pelaut kanan, bilik kawalan, ruang penyimpanan senjata, mes pelaut muda, bilik penjana motor dan bilik kawalan jentera.

Pada akhir lawatan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan dijunjung bagi sesi bergambar ramai dan menerima plak juga pesambah daripada Laksamana Madya Michael Noonan dan Komander Brad Francis.

Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menganugerahkan plak kepada kedua-dua pegawai kanan berkenaan.

HMAS Dechaineux yang berpusat di Fleet Base West, Australia Barat merupakan kapal selam Collins Class keempat yang ditauliahkan untuk perkhidmatan dalam Tentera Laut Diraja Australia pada 23 Februari 2001.

Kapal selam berkenaan berupaya menampung 38 pelayar dan 10 pegawai serta merupakan antara salah satu kapal selam pertama yang direka dengan komputer.

HMAS Dechaineux juga mempunyai beberapa ciri-ciri dan kebolehan termasuk high-performance hull form, highly automated controls, high shock resistance dan efficient weapons handling serta discharge system.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan meninjau dan menerima sembah penerangan mengenai Kapal Selam Australian Collins Class, HMAS Dechaineux ketika mengadakan lawatan kerja ke kapal selam pertama yang berlabuh di negara ini, kelmarin.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan bergambar ramai dengan berlatarbelakangkan HMAS Dechaineux.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia di atas kapal selam berkenaan.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan mendengarkan sembah penerangan semasa lawatan di
dalam HMAS Dechaineux.
Duli Yang Teramat Mulia ketika lawatan di dalam HMAS Dechaineux.
Kapal selam HMAS Dechaineux yang berlabuh di Negara Brunei Darussalam selama tiga hari bermula 7 Mac lalu.