Friday, March 31, 2023
23.2 C
Brunei

-

Berkenan lawat tempat bersejarah di Istanbul

Gambar oleh Infofoto

ISTANBUL, REPUBLIK TURKIYE, 9 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan berangkat mengadakan lawatan ke tempat-tempat bersejarah di Istanbul, Republik Turkiye iaitu Hagia Sophia Grand Mosque, Topkapi Palace Museum dan Dolmabahce Palace.

Hagia Sophia Grand Mosque

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berangkat ke Hagia Sophia Grand Mosque, di mana Baginda dijunjung oleh Pengarah Budaya, Pendaftaran dan Muzium, Osman Nak.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya disembahkan penerangan mengenai sejarah dan latar belakang masjid berkenaan serta melihat sekitar kawasannya dan menunaikan sembahyang sunat tahyatul masjid.

Hagia Sophia Grand Mosque merupakan struktur Byzantine yang penting di Istanbul dan salah sebuah monumen terkenal di dunia.

Ia dibina pada abad keenam sebagai sebuah gereja. Setelah kedatangan Islam, bangunan tersebut ditambah dengan menara-menara dan inskripsi Islam dan seterusnya dijadikan sebagai masjid.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar di dalam Hagia Sophia Grand Mosque, Republik Turkiye, kelmarin.
Baginda Sultan berkenan menyaksikan salah satu pameran semasa lawatan ke Topkapi Palace Museum
Baginda Sultan berkenan melihat lebih dekat salah satu pameran semasa lawatan ke Topkapi Palace Museum.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mendengar sembah penerangan semasa lawatan ke Hagia Sophia Grand Mosque di Istanbul.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai semasa mengadakan lawatan di Dolmabahce Palace.
Baginda Sultan berkenan mengadakan lawatan ke Hagia Sophia Grand Mosque di Istanbul.
Baginda Sultan berkenan berangkat menaiki sebuah kapal persiaran menyusuri Selat Bosphorus selepas mengadakan lawatan-lawatan.

Semasa zaman pemerintahan Mustafa Kemal Ataturk, Hagia Sophia dijadikan sebagai muzium dan kemudiannya diumumkan sebagai masjid sekali lagi pada 2020 oleh Presiden Republik Turkiye, Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdogan.

Topkapi Palace Museum

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Topkapi Palace Museum dijunjung oleh Timbalan Pengarah Eksekutif National Palaces, Ilhan Kocaman.

Semasa di muzium itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia melawat beberapa tempat pameran termasuk galeri artifak suci Islam, hiasan dan senjata peperangan Islam serta tempat-tempat bekas kediaman utama dan ibu pejabat pentadbiran Kesultanan Kerajaan Uthmaniyyah.

Topkapı Palace Museum dibuka sebagai muzium pada 1924.

Dolmabahce Palace

Pada akhir lawatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Dolmabahce Palace di mana keberangkatan tiba Baginda dijunjung oleh Pengarah National Palaces, Yasin Yildiz.

Semasa di Dolmabahce Palace, Kebawah Duli Yang Maha Mulia melihat secara lebih dekat mengenai sejarah bangunan tersebut sebagai istana gaya Eropah pertama di Istanbul yang telah dibina oleh Sultan Abdulmecid I pada abad ke-19.

Istana berkenaan sebelum ini adalah tempat kediaman bagi enam sultan terakhir Empayar Kerajaan Uthmaniyyah, dan juga dikenali sebagai bangunan tempat di mana pengasas Republik Turkiye, Mustafa Kemal Ataturk meninggal dunia pada 1938.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke tempat-tempat bersejarah berkenaan, antara lainnya, memberikan peluang untuk mengeratkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara melalui pemahaman yang lebih mendalam mengenai perkembangan sosial, politik dan ekonomi Republik Turkiye, yang kaya dalam kebudayaan, ketamadunan dan sejarah.

Selesai lawatan-lawatan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya dijunjung berangkat menaiki sebuah kapal persiaran untuk menyusuri sekitar Selat Bosphorus.

Juga hadir ialah Menteri Perindustrian dan Teknologi Republik Turkiye, Tuan Yang Terutama Mustafa Varank.

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Otai impi meluncur ombak hingga usia 100

FUJISAWA, JEPUN, 30 MAC – Seorang warga emas membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti meluncur ombak. Seiichi Sano mula meluangkan...
- Advertisment -