Berkenan melawat Majlis Ugama Islam

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat ke Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), hari ini.

Keberangkatan Baginda Yang di-Pertuan Agong ke MUIB di Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Berakas itu adalah sempena keberangkatan negara selama tiga hari ke negara ini.

Keberangkatan Baginda Yang di-Pertuan Agong dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku yang di-pertua MUIB serta ahli-ahli MUIB dan pegawai-pegawai kanan kementerian berkenaan.

Turut hadir Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Sejurus keberangkatan tiba, Baginda dijunjung menandatangani lembaran kenangan, seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Dalam rangka lawatan itu, Baginda turut disembahkan penerangan mengenai MUIB oleh Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop. Seterusnya Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran yang antara lain mempamerkan mengenai peranan Jabatan Majlis Ugama Islam, Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam, Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Unit Perundangan Islam dan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.

Sebelum mengakhiri lawatan, Baginda Yang di-Pertuan Agong dijunjung untuk bergambar ramai bersama ahli-ahli MUIB.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli MUIB.
Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan disembahkan penerangan mengenai MUIB oleh pemangku setiausaha MUIB.
Keberangkatan Baginda Yang di-Pertuan Agong dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan ahli-ahli MUIB serta pegawai kanan kementerian berkenaan.