Oleh Pg Fairol RMF
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pagi tadi berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Perdana Menteri.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia selaku Penaung Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas dijunjung oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah selaku Ahli Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas.
Turut menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ialah pengerusi-pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; dan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd Taha.



Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya dijunjung untuk menyertai sesi bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas.
Bagi memulakan mesyuarat, Doa Selamat dibacakan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas, Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.
Mesyuarat diteruskan dengan sembah alu-aluan daripada Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz sebelum Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia menaiki takhta menjadi Sultan Brunei yang ke-29 pada 5 Oktober 1967 semasa Baginda berusia 21 tahun. Sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta telah diadakan pada 5 Oktober 1992.